Landasan promosi produk 1K1P

Oleh Sim Y. H.

TUTONG, 24 SEPT – Tamu Mingguan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dihasratkan untuk memberi landasan kepada pengusaha-pengusaha 1K1P untuk mempromosikan dan memasarkan produk masing-masing secara bergilir-gilir setiap seminggu.

“Apa yang diharapkan daripada tamu mingguan ini adalah pengusaha-pengusaha menyambut baik dan merebut peluang untuk ikut serta secara konsisten agar tamu mingguan ini berdaya tahan dan menarik minat pata pengunjung tempatan seterusnya menambah nilai kepentingan aktiviti perniagaan di Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong.”

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Tamu Mingguan 1K1P, Daerah Tutong yang berlangsung di Bangunan Pasar Sayur-Sayuran, Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), ketua-ketua jabatan di bawah KHEDN, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli Lembaga Bandaran Tutong, pemangku penghulu-penghulu mukim serta pemangku ketua-ketua kampung Daerah Tutong.

Awang Ajmin dalam kata alu-aluannya lagi menyatakan bahawa memandangkan statistik keramaian pengunjung ke Tamu Tutong mencapai 4,000 orang, maka adalah bertepatan dan bersesuaian bagi Tamu 1K1P diperkenalkan untuk merebut peluang bagi mempelbagaikan kaedah pemasaran dan mewujudkan hab rangkaian perniagaan 1K1P.

Tamu Mingguan 1K1P, Daerah Tutong dianjurkan bersama oleh Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Bandaran Tutong dan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong (BKKT).

Sebanyak 20 pengusaha 1K1P menyertai tamu mingguan itu, yang terdiri daripada 17 dari Daerah Tutong, dua dari Daerah Brunei dan Muara serta satu dari Daerah Belait.

Program tamu mingguan itu bermatlamat untuk meningkatkan pasaran dan kebolehpasaran produk 1K1P terutama sekali dalam pasaran domestik, mempelbagaikan kaedah pemasaran yang sedia ada melalui pendekatan conceptual business environment iaitu suasana perniagaan berkonsepkan tamu mingguan yang menarik ramai pengunjung bagi memastikan permintaan pasaran produk berkenaan berterusan dan konsisten serta mewujudkan hub rangkaian perniagaan 1K1P sebagai platform ke arah memperluaskan peluang-peluang perniagaan yang mampu menyumbang kepada perkembangan kemajuan Produk 1K1P yang lebih kondusif dan efektif.

Yang Berhormat Pehin menyempurnakan pelancaran Tamu Mingguan 1K1P, Daerah Tutong yang berlangsung di Bangunan Pasar Sayur-Sayuran, Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong, kelmarin.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri diberikan penerangan dan melihat dengan lebih dekat produk 1K1P yang diketengahkan semasa Tamu Mingguan 1K1P.
Para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan dan membeli barangan yang diketengahkan pada Tamu Mingguan 1K1P.