Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Langgar perintah kuarantin, warga tempatan disiasat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Seorang warga tempatan telah didapati melanggar Perintah Kuarantin atau Notis Pengasingan diri dan telah dibawa untuk siasatan lanjut.

    Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar (gambar bawah) pada Sidang Media Mengenai Status Terkini COVID-19 di negara ini yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Dato menegaskan, mana-mana individu yang melanggar syarat tempoh pengasingan selama 14 hari akan dikenakan denda sebanyak $10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Beliau menjelaskan, “Individu yang menjalani tempoh pengasingan akan diberikan pilihan sama ada untuk memilih menjalani tempoh pengasingan selama 14 hari di rumah atau di hotel mengikut syarat yang ditetapkan dengan menandatangani borang yang disediakan”.

    Manakala itu, bagi individu yang menjalani tempoh pengasingan diri di rumah masing-masing, dalam masa 24 jam, keluarga individu itu hendaklah membawa individu terbabit untuk menjalani pemeriksaan di Kompleks Sukan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

    “Walaupun semasa pemeriksaan dijalankan, keputusan negatif tapi individu tersebut masih tetap menjalani tempoh pengasingan diri selama 14 hari dan mematuhi arahan yang diberikan terutama tidak keluar rumah atau tempat kuarantin yang ditetapkan.

    “Jika individu terbabit melanggar perintah kuarantin itu, pihak Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei tidak akan teragak-agak untuk mengenakan denda ke atas mereka,” tegas beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda