Langgar perintah, warga emas mengaku salah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Seorang wanita warga emas yang berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 62A (2) Akta Penyakit Berjangkit, Bab 204 iaitu gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk tidak memberikan perkhidmatan ‘dine-in’ kepada pelanggan, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Tertuduh, Ting Siew Kiing, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar yang kemudian menetapkan 28 Mac untuk sebutan hukuman.
Pertuduhan menyebut, tertuduh didakwa menawarkan perkhidmatan ‘dine-in’ kepada orang awam di sebuah flat di Mabohai pada 21 Mac iaitu dua hari selepas arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Siasatan polis mendapati tertuduh mengetahui arahan yang dikeluarkan itu namun masih menawarkan ‘dine-in’ kepada pelanggan di ruang tamu kediamannya, yang boleh menampung sehingga 10 orang pelanggan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aminudin Zaki bin Dato Abdul Rahman dalam hujahannya berkata, Brunei kini berada di peringkat awal pandemik global, dan telah melihat bilangan yang dijangkiti meningkat daripada enam kes kepada lebih 100 kes dalam tempoh dua minggu.

Langkah-langkah telah diambil untuk membendung penyebaran jangkitan virus COVID-19, termasuk arahan yang dikeluarkan kementerian-kementerian berkenaan seperti mengarahkan restoran-restoran untuk tidak menyediakan atau menawarkan sebarang perkhidmatan ‘dine-in’, penutupan masjid-masjid dan membatalkan solat Fardu Jumaat dalam usaha untuk mengurangkan kadar jangkitan di negara ini, hujah Aminudin Zaki.

Untuk menyokong pelaksanaan langkah-langkah ini, pihakberkuasa akan memastikan mereka yang memilih untuk mengabaikan situasi yang dihadapi Brunei akan menerima hukumannya, dan yang penting menghalang kemungkinan kesalahan lain.

Dalam kes ini, hujah Aminudin Zaki lagi, tertuduh mengetahui arahan untuk tidak menyediakan khidmat ‘dine-in’ seperti yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada 19 Mac tetapi tertuduh secara terang-terangan memilih untuk menjalankan perniagaannya seperti biasa, dan mengabaikan kesihatan penduduk negara ini.

Pejabat Peguam Negara sekali lagi mengingatkan orang ramai mengenai arahan Kementerian Kesihatan untuk kesemua premis restoran makanan dan minuman supaya tidak menawarkan perkhidmatan ‘dine-in’ kepada pelanggan selaras dengan langkah-langkah lain yang diambil untuk mengekang penyebaran jangkitan virus COVID-19 di negara ini.

Sesiapa yang gagal untuk mematuhi mana-mana arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, boleh didakwa dan dikenakan denda maksimum $10,000 dan penjara untuk tempoh tidak melebihi enam bulan.