Langgar QO: Tindakan tegas akan diambil

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Tindakan tegas akan diambil ke atas orang-orang yang melanggar perintah kuarantin (QO) di rumah di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab persoalan mengenai tindakan ke atas orang yang melanggar QO, pada sidang media di Dewan ‘Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, Kementerian Kesihatan dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika ada orang positif yang mencetuskan masalah.

Ini kerana terdapat sebilangan yang menjalani kuarantin atau mereka yang positif didapati telah keluar dari kediaman mereka dan menimbulkan masalah kepada semua. Pihak polis telah berjaya mengesan beberapa kes terbabit dan pada masa ini sedang diteliti dan dibawa ke mahkamah, tambahnya.

“Terdapat juga mereka yang menjalani kuarantin di rumah ini memberikan pelbagai alasan semasa hendak dibawa ke pusat pengasi-ngan yang disediakan oleh kerajaan. Tetapi kita berharap mereka memberikan kerjasama dengan mempersiapkan barangan keperluan yang perlu di bawah ke pusat pengasingan apabila mereka diarahkan ke sana.

“Janganlah membiarkan agensi yang menjemput tertunggu-tunggu dengan memberikan pelbagai alasan kerana pada masa ini pihak kementerian mahu semua yang positif dan sedang menjalani kuarantin di rumah, untuk dibawa ke pusat pengasingan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan sudah mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung mereka yang positif menjalani kuarantin di pusat tersebut bagi memudahkan pengawalan dan rawatan dengan lebih baik.

Menurutnya lagi, sejak gelombang kedua penularan koronavirus di negara ini, jumlah kes lebih banyak berbanding kemudahan disediakan namun pihak kerajaan telah berusaha menyediakan beberapa tempat pengasingan untuk memudahkan orang ramai menjalani tempoh pengasingan.