Langkah bendung COVID-19 di Caracas diketatkan

CARACAS, 16 JULAI – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro telah mengumumkan bahawa negara tersebut akan mengetatkan langkah-langkah membendung koronavirus di ibu kota Caracas dan bandar berdekatan, Miranda dalam usaha untuk menghentikan penyebaran wabak tersebut.

Negara itu merupakan salah sebuah negara yang paling kurang terjejas di Amerika Latin semasa peringkat awal pandemik tetapi kini telah meningkat ke paras amaran selepas lonjakan kes jangkitan dan kematian dalam beberapa minggu kebelakangan.

Ia mengambil masa 70 hari bagi Venezuela untuk mencatatkan 1,000 kes pertama kes COVID-19 – tetapi dalam masa tiga hari telah melonjak dari 7,000 ke 8,000 kes.

Minggu ini Venezuela melepasi 10,000 kes jangkitan yang disahkan secara rasmi, walaupun pihak pembangkang dan pertubuhan seperti Pemerhati Hak Asasi Manusia percaya angka sebenar mungkin lebih tinggi.

“Disebabkan peningkatan kes COVID-19, yang dibawa oleh orang yang masuk secara haram ke negara ini…Saya telah mengambil keputusan untuk memerintahkan kuarantin di bandar Caracas dan Miranda,” tulis Maduro melalui Twitter kelmarin.

Langkah itu dibuat hanya empat hari selepas kerajaan mengumumkan pelonggaran sekatan di Caracas dan negeri-negeri lain, yang membolehkan bank dan aktiviti ekonomi lain dibuka semula.

“Kita perlu memberikan ekonomi untuk berehat,” kata Maduro pada Sabtu lalu.

Sehari sebelum itu, wakil Presiden, Delcy Rodriguez telah mengumumkan bahawa ‘keadaan cemas’ telah memberikan undang-undang untuk langkah-langkah kuarantin dilanjutkan selama sebulan.

Maduro juga mengumumkan kelmarin bahawa beliau akan membenarkan transformasi Poliedro de Caracas – pusat hiburan di negara itu – menjadi hospital lapangan COVID-19. – AFP