Langkah, garis pandu untuk membuka semula premis perniagaan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Beberapa langkah akan dilaksanakan bagi pembukaan semula tempat kerja dan premis perniagaan secara berperingkat dalam tempoh Fasa Peralihan yang akan bermula pada 19 November depan.

Pendekatan dalam fasa ini akan memastikan pematuhan langkah-langkah kawalan COVID-19 dengan menggalakkan penggunaan Antigen Rapid Test (ART) sebagai langkah pengesanan awal jangkitan dan memperkenalkan sekatan berbeza bagi individu yang sudah divaksinasi dan belum divaksinasi.

Antara langkah kawalan COVID-19 termasuk penggunaan aplikasi BruHealth, mendapatkan vaksin lengkap untuk semua pekerja, kakitangan, sukarelawan yang layak diberikan vaksin selain mengamalkan penjarakan sosial iaitu sekurang-kurangnya 1.5 meter antara individu.

Pemilik premis juga hendaklah memastikan premis dalaman mempunyai pengudaraan yang mencukupi dan menyediakan pelan kesinambungan perniagaan (BCP) bagi memastikan premis kekal beroperasi seperti melaksanakan alternate teams dan garis panduan pengesanan kontak.

Di samping itu, mereka juga disaran melaksanakan ujian ART bila perlu mengikut garis panduan ART yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Sebagai tanggungjawab bersama, setiap premis perniagaan diseru untuk memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan-arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Mana-mana pemilik premis perniagaan yang didapati tidak mematuhi garis panduan pembukaan semula premis dan syarat-syarat yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan premis tersebut boleh diarahkan untuk tutup dengan serta-merta.

Manakala bagi pejabat perniagaan swasta dan syarikat pembuatan dan pemprosesan adalah mereka dikehendaki mematuhi syarat-syarat yang mana pekerja dan pelanggan yang mengimbas kod QR dan mereka yang mempunyai kod warna hijau dan kuning saja dibenarkan masuk.

Selain pemilik, pekerja dan pelanggan mesti juga telah melengkapi dua dos vaksin manakala pekerja yang belum divaksinasi atau belum melengkapkan dua dos vaksin, pekerja berkenaan hendaklah membuat ujian ART pada setiap hari bekerja.

Di samping itu, pihak majikan adalah dinasihatkan untuk membuat ujian ART secara berkala ke atas pekerja-pekerja.

Untuk makluman, individu yang belum divaksinasi termasuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan individu yang belum melengkapkan dua dos vaksin tidak dibenarkan masuk ke premis.

Individu yang kurang sihat adalah dinasihatkan untuk tidak mengunjungi premis dan dimestikan memakai pelitup muka pada setiap masa dan membuat penjarakan sosial dan kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan atau menggunakan hand sanitizer.

Pemilik premis juga diingatkan supaya mengehadkan jumlah pengunjung yang dibenarkan masuk dalam satu-satu masa kepada 50 peratus daripada jumlah kapasiti biasa atau tidak melebihi 200 orang (yang mana lebih rendah).

Selain itu, pemilik premis juga hendaklah mempamerkan notis jumlah maksimum dan jumlah 50 peratus kapasiti serta status vaksinasi pekerja.