Langkah kanan

Oleh Khairil Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, petang tadi berkenan berangkat untuk menyaksikan Kejohanan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam di Dewan Serba guna, Green Jade Centrepoint di Gadong.

Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah yang menyaksikan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim mengatasi Awang Mohd Daffa dalam Kategori Perseorangan Lelaki Bawah 15 Tahun.

Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah dan Pengiran Seti Aminah binti Pengiran Othman serta Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Hadi Bolkiah.

Hadir sama ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit serta Rinawaty binti Abdullah @ Suzanne Rahaman.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim menang 2-0 (21-12, 22-20) menentang Awang Mohd Daffa dan akan beraksi dalam perlawanan suku akhir menentang Mohd Shahibol Faiz bin Mohd Nor Faidzal.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim akan berentap pada separuh akhir Beregu Lelaki Bawah 13 Tahun, berpasangan dengan Dessen Chung Min Tin menentang Awang Mohd Talipuddion Ermadena dan Awang Mohd Shahibol Sabtu nanti.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berserta YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat bagi menyaksikan Kejohanan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam, kelmarin.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim ketika mengembalikan pukulan menentang Awang Mohd Daffa, kelmarin.