Langkah keselamatan hab pengangkutan awam

Oleh Rozainah Abdul Rahim dan Jeiilnyly Masal

KUALA LUMPUR – Aryssa Fahmy, 28, dan Mia Sabrina Miharbi, 21, berkongsi kebimbangan yang sama iaitu keselamatan diri ketika menggunakan pengangkutan awam.

Kedua-duanya menceritakan pengalaman peribadi yang mungkin turut dialami pengguna perkhidmatan awam lain ketika penulis membuat tinjauan di beberapa stesen tren dan juga bas.

“Teruk dan menakutkan. Saya harap pihak polis akan terus memantau setiap stesen untuk keselamatan semua pengguna tren,” kata Aryssa.

Beliau mendakwa mengalami gangguan seksual kira-kira dua bulan lepas ketika menaiki tren dari stesen Transit Aliran Ringan (LRT) SS18 (Subang Jaya) untuk ke KL Sentral sekitar pukul 7.45 pagi hingga 8.20 pagi. Aryssa ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja. Dia melihat seorang lelaki yang berdiri di hadapannya bertindak memasukkan tangan ke dalam kocek dan “dipercayai memegang kemaluannya”.

Aryssa berkata dia berasa tidak sedap hati melihat kejadian itu namun cuba bersangka baik dan menganggap suspek hanya sedang menggaru walaupun perbuatannya itu mengambil masa agak lama.

Video kejadian yang disaksikannya itu ditularkan di media sosial oleh seorang saksi lain. Aryssa mengakui terkejut dan tidak menyangka sangkaannya rupa-rupanya tepat membuatkan beliau segera membuat laporan kepada pihak polis bantuan Prasarana di KL Sentral.

Anggota Security Control Centre’ (SCC), Konstabel Sardon Mat Taf memantau rakaman CCTV secara langsung dari bilik kawalan CCTV SCC dekat Depoh LRT Lembah Subang, Subang Jaya bagi memastikan keselamatan penumpang di sekitar stesen tren dan bas. –Bernama

“Saya membuat laporan tersebut kerana saya tidak mahu orang lain melalui situasi yang sama dan membiarkan orang seperti itu melakukan perkara terkutuk itu lagi.

“Jika kita asyik mendiamkan diri kerana malu dan sebagainya, orang macam itu akan sentiasa fikir yang dia boleh lakukan apa sahaja. Itu baru masuk tangan ke dalam kocek, kalau nanti dia rasa dia mahu buat lebih lagi teruk,” katanya.

Bagaimanapun Aryssa berkata beliau berbangga dengan pihak polis yang prihatin dan banyak membantu dalam memberkas suspek yang berjaya ditahan kira-kira dua hari selepas kejadian.

Di sebalik kejadian yang berlaku, Aryssa berpendapat tahap keselamatan bagi pengguna pengangkutan awam masih baik setakat ini dan cuma terdapat segelintir yang cuba mengambil kesempatan seperti kejadian yang dilaluinya Oktober lepas.

PENGALAMAN MIA SABRINA

Sementara itu, Mia memberitahu Bernama: “Saya memang takut bila balik lewat pada waktu malam, tapi memandangkan saya perlu bekerja saya gagahkan diri untuk terus menggunakan pengangkutan awam setiap hari.”

Sejak tiga tahun lalu, pekerja swasta ini menggunakan perkhidmatan dan bas RapidKL ke tempat kerja yang terletak di Jalan Raja Chulan.

Hatinya dibayangi ketakutan setiap kali mahu pulang ke rumah kerana dia sering balik lewat malam dari tempat kerja iaitu sekitar pukul 9 mlm dan ada kalanya 10 malam. Mia Sabrina akan mengambil monorel di Jalan Raja Chulan untuk ke stesen LRT Wangsa Maju.

Mia Sabrina berkata dia dan rakan-rakannya turut berasa berasa bimbang ketika berada di tempat menunggu bas berikutan pernah diganggu individu bermotosikal serta kereta ketika sedang menunggu di kawasan itu.

“Beberapa hari lepas, rakan saya menjadi mangsa apabila telefonnya dilarikan penjenayah di stesen monorel Raja Chulan. Bagaimanapun saya difahamkan suspek itu berjaya ditangkap,” katanya ketika ditemui Bernama di stesen LRT Wangsa Maju.

RASA TAKUT SENTIASA ADA

Tinjauan Bernama di beberapa stesen LRT di Wangsa Maju dan Sentul serta beberapa stesen bas mendapati ramai pengguna pengangkutan awam terpaksa mengharungi suasana yang tidak selesa.

Ada yang terpaksa berjalan di laluan yang sunyi dan gelap ekoran lampu di kaki lima dan jejantas yang tidak berfungsi.

Bagaimanapun banyak kamera litar tertutup (CCTV) dipasangkan di setiap sudut sekitar stesen dan sekali sekala terlihat anggota polis bantuan yang melakukan rondaan.

Kehadiran pengguna pengangkutan awam yang masih berada di sekitar stesen sehingga waktu operasi tren tamat juga mungkin dapat mengurangkan rasa takut di kalangan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah berkata pihak polis sentiasa melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tumpuan pengunjung termasuk KLCC, Bukit Bintang, Pasar Seni dan Kota Raya bagi memastikan keselamatan awam.

“Terdapat dua balai polis bergerak ditempatkan di Jalan Ampang dan Dataran Merdeka yang beroperasi bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam.

“Balai polis bergerak ini beroperasi untuk menerima laporan kejadian jenayah di lokasi persekitaran dan anggota bertugas akan memaklumkan perkara itu kepada bilik gerakan ibu pejabat polis daerah,” katanya ketika dihubungi menerusi telefon oleh Bernama baru-baru ini.

Maklumat yang diterima berhubung sebarang kejadian jenayah kemudian akan disebarkan segera kepada petugas di daerah Dang Wangi dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

MASIH TERKAWAL

Mengulas mengenai isu ini, penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim berkata tahap keselamatan di ibu negara dilihat sebagai selamat dan terkawal serta tidak membantutkan pergerakan harian masyarakat setempat berdasarkan data terkumpul.

Kamal Affandi berkata terdapat dua kaedah mengukur tahap keselamatan sesebuah lokasi iaitu secara objektif berdasarkan data yang terkumpul atau secara abstrak yakni radar ketakutan orang ramai.

Beliau berkata setiap individu perlu mempunyai kesedaran dengan mengambil langkah pencegahan jenayah bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa.

Katanya saksi kejadian jenayah perlu membuat laporan polis dan bukannya melakukan perkongsian di laman sosial supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Khas Bersepadu bagi membanteras jenayah ragut dan samun jalanan di sekitar Kuala Lumpur bermula 14 Nov lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata dalam satu sidang media November lepas berkata sejak awal tahun ini polis menerima sebanyak 469 kes melibatkan warga tempatan dan 252 kes melibatkan pelancong.

Susulan itu, beberapa elemen daripada Jabatan Siasatan Jenayah, balai polis berkaitan, unit pelancong, kereta peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), termasuk peronda-peronda di kawasan terbabit digerakkan sepanjang operasi 30 hari itu.

Pasukan polis trafik turut digerakkan bagi memastikan orang ramai berasa selamat sekaligus mengurangkan ketakutan tentang jenayah semasa mereka berada di bandaraya Kuala Lumpur.

Selain itu, polis juga sedang merancang membina lapan pondok bit polis di beberapa lokasi tumpuan pengunjung sekitar Kuala Lumpur dalam usaha memaksimumkan keselamatan orang ramai.

Antara lokasi penempatan pondok bit polis antaranya Dataran Merdeka, KLCC, Tugu Negara dan Bukit Bintang bagi mengurangkan kadar jenayah seperti seluk saku dan ragut terhadap orang ramai khususnya pelancong. – Bernama