Langkah-langkah pencegahan masih perlu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan tidak ada kes baharu yang disahkan dijangkiti COVID-19 di Negara Brunei Darussalam tetapi menegaskan bahawa penularan wabak COVID-19 masih belum berakhir dan kita masih perlu mematuhi langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko penularan wabak daripada berleluasa.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam kekal pada 135 kes, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media Statistik Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa tujuh lagi kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah disahkan sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah, membawa jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 73 orang.

“Ini bermakna terdapat 61 kes yang masih dirawat di pusat berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, tiga orang masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Intensif dengan salah seorang daripadanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO). Sementara itu, selebihnya adalah dalam keadaan yang baik,” jelasnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menyampaikan statistik terbaharu COVID-19 pada sidang media itu. -Gambar oleh Syahmi Hassan.

Seterusnya, Yang Berhormat Dato turut menyatakan bahawa jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin adalah seramai 2,065 orang dan hanya 280 orang sahaja yang masih menjalani kuarantin.

Pada hari ini juga, jelasnya, seramai 113 orang lagi telah menamatkan tempoh pengasingan diri di tempat-tempat pengasingan yang disediakan oleh kerajaan dan dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing, membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 326 orang.

Sejak awal Januari 2020, sebanyak 8,129 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan, yang membawa nisbah kepada 1 dalam 54 orang ramai yang sudah dibuat pemeriksaan bagi COVID-19.

Yang Berhormat Dato menyatakan lagi bahawa Kementerian Kesihatan sangat menghargai segala usaha dan kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak, sama ada dari pihak agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, badan sukarelawan dan orang awam yang telah sama-sama memainkan peranan dalam memastikan pengawalan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dilaksanakan dengan lancar.

“Sebagaimana yang telah dinyatakan beberapa kali sebelum ini, walaupun keadaan wabak COVID-19 di negara ini adalah terkawal namun negara kita masih di bawah ancaman kemasukan virus tersebut dari negara luar.

“Oleh itu, kita masih perlu melakukan langkah berjaga-jaga termasuk terus mengamalkan penjarakkan sosial, mengamalkan kebersihan diri dan menjaga etika ketika batuk atau bersin serta mengelakkan perkumpulan ramai, mengurangkan daripada mengunjungi gedung-gedung perniagaan beramai-ramai dan hanya keluar sekiranya perlu sahaja,” tambahnya.

Yang Berhormat Dato menegaskan bahawa kita perlu ingat bahawa risiko penularan masih wujud walaupun ianya terkawal dan jika kita leka keadaan boleh berubah dengan sekelip mata dan kejadian yang tidak diingini seperti lockdown mungkin terjadi.