Monday, November 28, 2022
27.1 C
Brunei

-

Langkah PBSI terbukti berkesan

KUALA LUMPUR, 22 NOV – Langkah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempelawa pemain profesional menjalani sesi latihan mingguan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini, bakal memberi impak besar buat kedua-dua pihak.

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky berkata buktinya tindakan sedemikian yang dilakukan badan induk utama badminton Indonesia iaitu Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) berjaya meningkatkan prestasi pemain mereka.

“Setahu saya beregu lelaki senior, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, walaupun bergerak secara profesional namun berlatih bersama PBSI.

“Pemain muda di sana boleh belajar daripada mereka terutamanya perkongsian pengalaman Ahsan-Hendra yang diturunkan kepada para pemain,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM, hari ini. Justeru, Rexy berkata langkah BAM itu sudah semestinya memberi peluang kepada pemain profesional untuk menjadi rakan sepelatih bersama pemain skuad kebangsaan selain boleh bertukar idea bersama jurulatih dibawa mereka sendiri di ABM.

BAM dalam satu kenyataan pada Isnin mencadangkan sesi latihan tersebut bagi pemain perseorangan dan beregu pada waktu pagi hari Rabu manakala sesi kedua untuk pemain beregu akan berlangsung pada hari Jumaat. Menurut BAM, pemain dalam ranking kelompok 50 utama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi pemain perseorangan dan ranking dunia dalam kelompok 30 utama acara beregu layak mengikuti sesi latihan manakala lima pemain terbaik negara juga dipertimbangkan.

Dalam pada itu, Rexy memaklumkan beliau masih belum dihubungi mana-mana pemain yang berminat berlatih di ABM memandangkan BAM meminta mereka menghubungi pengarah kejurulatihan sebelum hari Isnin pada minggu berkenaan untuk menjalani sesi latihan.

Sementara itu, Rexy berkata pihaknya masih mencari jurulatih berkualiti tinggi dalam usaha menggantikan tempat ditinggalkan jurulatih seperti ketua jurulatih beregu wanita iaitu Chan Chong Ming, Flandy Limpele (beregu lelaki) dan Paulus Firman (beregu campuran) sejak Disember hingga April lepas. – Bernama

Rexy menyokong tindakan BAM mempelawa pemain profesional menjalani sesi latihan mingguan di ABM. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Ratusan bantah sekatan COVID China

BEIJING, 27 NOV – Bantahan terhadap kawalan koronavirus di China yang telah mengurungkan jutaan penduduk di rumah telah merebak ke Shanghai dan bandar lain...
- Advertisment -