Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Langkah pengawalan dilonggarkan 15 Jun

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Beberapa langkah pengawalan COVID telah dikemas kini antaranya rancangan pembukaan sempadan darat dan laut, memansuhkan imbasan kod QR di aplikasi BruHealth, ujian saringan menggunakan ujian pantas antigen (ART) di pejabat-pejabat telah dihentikan dan ujian swab pra pelepasan bagi mereka yang hendak masuk ke negara ini kini ditiadakan.

    Ia adalah bagi menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang dimaklumkan melalui Jawatankuasa Pandu COVID bermula 15 Jun nanti.

    Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan meskipun keperluan mengimbas kod QR tidak lagi diperlukan, namun pihak pengurusan bangunan atau penganjur bagi mana-mana majlis boleh meminta orang ramai atau para jemputan majlis untuk membuat pengimbasan kod QR BruHealth sebelum memasuki premis berkenaan.

    Yang Berhormat Dato kemudian menerangkan walaupun ujian saringan di pejabat-pejabat dan tempat bertugas juga akan dihentikan, namun ia masih dikehendaki bagi mereka yang mempunyai simptom jangkitan, kontak rapat kepada kes positif dan pada bila-bila masa yang diperlukan. Sementara itu, saringan ART secara berjadual di sekolah-sekolah masih diteruskan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa mengumumkan mengenai pelonggaran beberapa langkah pengawalan COVID yang akan bermula 15 Jun.

    Sebagai kesinambungan kepada pembukaan sempadan melalui perjalanan udara pada 6 Mei lalu, Yang Berhormat Dato memaklumkan mengenai pengurangan sekatan pergerakan rentas sempadan dan pengemaskinian langkah-langkah pengawalan yang juga akan bermula pada 15 Jun ini.

    Antaranya ialah ujian saringan pra pelepasan (sama ada ujian RT-PCR atau ART) bagi mereka yang hendak masuk ke negara ini tanpa mengira status vaksinasi adalah ditiadakan, sementara ujian ART dan pengasingan diri semasa ketibaan kini ditiadakan bagi mereka yang telah mendapatkan vaksinasi penuh COVID.

    Kadar liputan perlindungan rawatan bagi COVID dalam insurans perjalanan yang disyaratkan telah dikemaskinikan pada kadar minimum sebanyak $20,000.

    Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai yang berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang keluar negara atas sebab rasmi atau bertugas adalah dikecualikan dari syarat ini, tertakluk juga kepada syarat kemasukan negara yang dituju.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa bermula 15 Jun, perjalanan rentas sempadan melalui pos-pos kawalan darat dan laut adalah dibenarkan bagi perjalanan mustahak seperti atas urusan pekerjaan, atau persekolahan dan pengendali pengangkutan yang berdaftar di dalam dan luar negara bagi tujuan penghantaran bekalan import dan eksport yang penting.

    Kebenaran bagi perjalanan mustahak tersebut perlu dipohonkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui laman sesawang JPM. Walau bagaimanapun, status vaksinasi COVID tidak disyaratkan bagi perjalanan-perjalanan mustahak yang dikategorikan.

    Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa perjalanan rentas sempadan melalui darat dan laut dirancang untuk dibuka sepenuhnya bermula pada 1 Ogos ini, tertakluk kepada keadaan semasa jangkitan COVID di negara ini dan serantau serta kesediaan peroperasian di pos-pos kawalan.

    Selain itu, pemberian bantuan makanan hanya diberikan bagi kes positif COVID yang mempunyai kod BruHealth berwarna ungu dan yang memohon bagi mendapatkan bantuan makanan sahaja.

    Sementara itu, menurut beliau, Tabung Dana COVID-19 juga akan ditutup pada 15 Jun ini, mengambilkira negara ini telah menamatkan Fasa Awal Endemik dan keadaan jangkitan di negara ini dalam keadaan terkawal dan stabil.

    “Sidang media Kementerian Kesihatan yang diadakan setiap hari akan digantikan dengan sesi mingguan yang akan diadakan pada setiap hari Isnin bermula pada 13 Jun 2022,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Sementara itu, dashboard maklumat mengenai situasi COVID akan dikeluarkan pada setiap hari di laman sesawang Kementerian Kesihatan atau mana-mana platform lain yang bersesuaian bagi terus memberikan maklumat terkini kepada orang ramai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...