Langkah pengawalan diperketat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, langkah-langkah pengawalan yang diumumkan pada sidang media pada 7 Ogos lalu adalah diperketatkan lagi dengan serta-merta sehingga 21 Ogos.

Sekatan terbaharu itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menjelaskan, langkah-langkah pengawalan yang diperketatkan itu termasuk larangan sebarang perkumpulan ramai.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, pengecualian adalah dibenarkan seperti perkumpulan seramai 15 orang untuk pengurusan jenazah (bukan COVID-19); perkumpulan lima orang untuk majlis akad nikah; bagi orang tua yang tinggal berasingan daripada ahli keluarga lain, hanya dua orang ahli keluarga sahaja dibenarkan untuk melawat orang tua pada satu-satu masa dan aktiviti riadah seperti jogging dan hiking adalah dibenarkan secara individu tanpa perlu memakai penutup mulut dan hidung manakala itu, riadah berkumpulan adalah dibenarkan bagi dua orang yang tinggal serumah sahaja.

Semua pegawai dan kakitangan, sama ada kerajaan atau swasta pula dikehendaki melakukan work-from-home (WFH). Hanya para petugas yang benar-benar diperlukan sahaja yang dibenarkan keluar ke tempat kerja seperti petugas barisan hadapan (sektor kesihatan, sektor keselamatan, sektor perhotelan, sektor pengangkutan), sektor keperluan harian (makanan, perniagaan runcit), sektor kemudahan dan uti-liti (elektrik, air, telekomunikasi), petugas di sempadan dan pintu-pintu masuk ke Negara Brunei Darussalam, sektor minyak dan gas dan hiliran, sektor pembinaan dan sektor agrimakanan dan perhutanan.

Aktiviti riadah seperti jogging dan hiking adalah dibenarkan secara individu tanpa perlu memakai penutup mulut dan hidung.

Keluar rumah tanpa tujuan yang mustahak adalah tidak dibenarkan. Hanya dua orang daripada sebuah keluarga sahaja dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang keperluan harian.

“Berikutan dengan peningkatan jumlah kes dan kontak yang begitu banyak, Kementerian Kesihatan sedang mencuba sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan yang sebaiknya kepada orang ramai,” tekan Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Beliau turut memohon kerjasama orang ramai untuk bersabar dan memahami keadaan perkhidmatan yang terpaksa memenuhi keperluan yang tinggi pada masa sekarang.

“Orang ramai diminta untuk bertutur dengan sopan, bertimbang rasa dan berhemah dengan petugas-petugas kesihatan dan barisan hadapan yang lain seperti Talian Nasihat Kesihatan 148, hospital dan pusat kesihatan, pusat vaksinasi dan pusat swabbing,” tambah beliau.

Yang Berhormat Dato menekankan bahawa Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang ancaman atau kekerasan yang dilakukan terhadap petugas kesihatan dan barisan hadapan yang lain.

“Berikan ruang bagi pihak Kementerian Kesihatan untuk memberikan perkhidmatan yang sempurna dan berkesan dengan tidak mengunjungi kemudahan-kemudahan kesihatan tanpa tujuan,” tegas yang Berhormat Menteri Kesihatan.

“Berikan keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan perkhidmatan seperti orang-orang yang sakit dan kontak-kontak bagi kes-kes yang positif yang memerlukan ujian swab.

“Ujian swab tidak akan dilakukan kepada orang ramai yang tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan dan tidak memenuhi kriteria ujian tersebut,” tambahnya.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk mengimbas kod QR setiap kali masuk dan keluar dari mana-mana premis, di samping mengaktifkan fungsi Bluetooth semasa berada di tempat-tempat awam.