Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Langkah rangsangan ekonomi bantu sektor swasta

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar bagi semua di mana ekonomi global termasuk ASEAN telah terkesan oleh pandemik COVID-19 dalam pelbagai cara.

    Namun begitu, pandemik berkenaan telah mempercepatkan keperluan untuk membangun strategi untuk mengukuhkan kapasiti dan ketahanan pekerja khususnya dalam usaha bagi meningkatkan kompetensi dan kualiti mereka.

    Usaha itu dapat memastikan bahawa tenaga kerja adalah bersiap sedia bagi cabaran masa akan datang dan dunia pekerjaan yang dinamik.

    Kesan daripada pandemik itu tidak dapat dielakkan, namun keazaman dalam memastikan kapasiti tenaga kerja memenuhi permintaan pasaran kerja masa akan datang tidak harus terhalang olehnya, jelas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika menyampaikan ucapannya pada Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN ke-26 dan Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN Plus Three ke-11, yang diadakan secara maya di Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, di sini, hari ini.

    Kerajaan Negara Brunei Darussalam telah melaksanakan strategi berterusan dalam program dan dasar pembangunan kemahiran di mana ia juga merangkumi inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pandu Industri Sumber Manusia (MISC) dalam industri binaan iaitu sebuah jawatankuasa di bawah Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan, pengawal selia, institusi pendidikan serta perusahaan dalam sektor pembinaan.

    Yang BerhormatMenteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan ucapan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN ke-26 dan Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN Plus Three ke-11, yang diadakan secara maya.

    Jawatankuasa berkenaan, tambahnya, telah melancarkan Program Penghubung ARMECS pada 1 Oktober lalu yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan tenaga kerja dalam memastikan mereka memperoleh kompetensi dan kemahiran yang relevan dalam industri pembinaan.

    Program itu, jelas Yang Berhormat Pehin, menghubungkan jurang antara ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh para graduan dalam pendidikan teknikal dan keperluan industri.

    Pada masa yang sama, inisiatif berkenaan juga membantu dalam unjuran keperluan jenis pekerjaan dan jumlah sumber manusia yang diperlukan di masa akan datang.

    Yang Berhormat Pehin berkata lagi bahawa kerajaan Negara Brunei Darussalam menerusi Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kementerian Pendidikan, sedang aktif merancang, membangunkan dan melaksanakan program-program pembelajaran sepanjang hayat menerusi kolaborasi dengan pembekal pembelajaran sepanjang hayat serta agensi-agensi kerajaan.

    Pada masa ini, tumpuan utama Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat adalah untuk menyediakan program-program peningkatan kemahiran dan pengisian semula. Pusat berkenaan juga menawarkan sebanyak 135 program kepada orang ramai khususnya pelajar-pelajar matang, pencari kerja dan pekerja yang bekerja dalam sektor awam dan juga sektor swasta.

    Yang Berhormat Pehin turut mengongsi bahawa langkah bantuan dan rangsangan ekonomi bagi Negara Brunei Darussalam berjumlah $450 juta bermatlamat untuk menyokong sektor swasta khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam sektor pelancongan, hospitaliti, restoran dan pengangkutan.

    Di samping itu, langkah-langkah sementara termasuk diskaun cukai pendapatan korporat, subsidi gaji, penangguhan sumbangan sekuriti sosial, diskaun ke atas utiliti dan kadar sewa bangunan kerajaan serta penangguhan pembayaran balik pokok pinjaman.

    Langkah-langkah berkenaan, jelas Yang Berhormat Pehin, bertujuan untuk memastikan sekuriti pekerjaan bagi pekerja dan membina ketahanan pekerja bukan sahaja selepas pandemik tetapi sebagai persediaan bagi perubahan pesat dunia pekerjaan di masa akan datang.

    Yang Berhormat Pehin berkata lagi bahawa dengan berhadapan cabaran di bawah norma baharu, kita perlu mengambil maklum dan mengumpulkan usaha bagi mempromosi dasar-dasar pasaran buruh aktif dan terus menyediakan sokongan berterusan dalam membangunkan kapasiti dan kesiapsiagaan sumber manusia ASEAN.

    Selaras dengan Deklarasi ASEAN bagi Pembangunan Sumber Manusia untuk Dunia Pekerjaan yang Berubah, ujar beliau, kita harus komited untuk melengkapkan sumber manusia ASEAN dengan kompetensi yang akan mempersiapkan mereka untuk bersedia bagi masa hadapan di mana ia membolehkan mereka untuk menyumbang secara aktif kepada pembangunan mampan, daya saing dan ketahanan ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda