KUALA LUMPUR – Setelah berlakunya penularan wabak virus nCoV di seluruh dunia, kesiapsiagaan untuk mencegahnya turut sejajar kepentingannya. Salah satu cara pencegahan virus ini adalah melalui penggunaan cecair pembasmi kuman atau lebih dikenali sebagai hand sanitiser.
Pada masa kini, hand sanitiser ini amat diperlukan sehinggakan permintaannya sangat tinggi. Tidak kisahlah sama ada yang berjenama, yang popular atau yang biasa-biasa, segala jenis jenama pembasmi kuman semuanya tidak ada stok. Kebanyakan kedai mengakui permintaan produk ini begitu mendadak pada masa ini selain daripada topeng muka.
Seorang jurujual sebuah pusat rangkaian farmasi terkenal di Lembah Klang yang memperkenalkan dirinya sebagai Dayah memberitahu penulis, cecair pembasmi kuman itu sudah mula kehabisan stok sejak Sabtu (25 Januari) sebaik sahaja kes pertama koronavirus di Malaysia dilaporkan positif.
Tidak dinafikan, sejak wabak tersebut atau juga dikenali sebagai koronovirus Wuhan mula merebak ke lebih banyak negara termasuk di Malaysia, masyarakat di negara ini semakin berasa bimbang sehingga ramai berpusu-pusu mencari topeng muka dan cecair pembasmi kuman sehingga kehabisan stok.
Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada penggunaan cecair pembasmi kuman ini boleh melindungi seseorang individu itu daripada jangkitan termasuk 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV)?


Hand sanitiser cara terbaik?
Menurut Dr Rosnida Mohd Noh, Pakar Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), masyarakat tidak perlu panik apabila cecair pembasmi kuman habis di pasaran.
Ini kerana menurutnya cara terbaik untuk melindungi daripada jangkitan wabak berkenaan atau apa-apa sahaja penyakit adalah melalui cara cucian tangan secara betul.
“Ada dua cara untuk membersihkan tangan dengan betul bagi mengelakkan jangkitan virus termasuk koronavirus. Iaitu membasuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air serta hand sanitiser dengan kandungan alkohol sekurang-kurangnya 60 peratus.
“Tetapi, jika hand sanitiser sudah habis, jangan panik. Kita hanya perlu memastikan membasuh tangan dengan sabun dan air yang cukup, sekurang-kurangnya selama 20 saat dengan kerap untuk memastikan tiada jangkitan.
“Malah, membasuh tangan dengan sabun dan air secara betul adalah cara terbaik untuk membersihkan tangan terutama jika ada kotoran jelas di tangan. Ia lebih mudah dan sesuai untuk aktiviti harian,” katanya kepada media.
Berkaitan dengan penggunaan tisu basah pula, Dr Rosnida berkata kaedah tersebut tidak dicadangkan langsung oleh mana-mana pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pengamal kesihatan untuk membersihkan tangan bagi mengelak jangkitan pelbagai virus.
Semakan yang dibuat ke atas Laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), badan dunia itu turut menyenaraikan beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan oleh orang ramai bagi mencegah penularan penyakit berpunca daripada 2019-nCoV.
WHO menyenaraikan beberapa langkah untuk orang awam amalkan bagi mengurangkan risiko pendedahan serta jangkitan pelbagai penyakit.
Ini termasuk amalan penjagaan kebersihan diri (termasuk tangan dan pernafasan) serta persekitaran di samping amalan penyediaan makanan yang selamat. Antara yang boleh dijadikan panduan adalah seperti berikut:-
Kerap mencuci tangan menggunakan sabun dan air atau cucian tangan yang berasaskan alkohol;
Tutup mulut dengan tangan atau tisu apabila batuk atau bersin – buang tisu sebaik sahaja digunakan dan cuci tangan;
Jauhi pesakit
Sekiranya anda demam, batuk dan sukar bernafas, segeralah mendapatkan rawatan perubatan dan maklumkan kepada pegawai perubatan yang merawat sekiranya anda melakukan perjalanan ke mana-mana tempat atau negara;
Apabila anda ke pasar yang ada menjual haiwan hidup di kawasan yang kini diisytiharkan sebagai lokasi wabak kes 2019-nCoV, elakkan daripada menyentuh secara langsung, tanpa perlindungan dengan haiwan hidup itu. Jangan juga sentuh tempat atau permukaan tempat haiwan itu berada;
Elakkan makan produk haiwan yang tidak dimasak atau separuh masak. – Bernama




























