Lanjutan sekatan Australia dicemari bantahan

SYDNEY, 5 OGOS – Hampir dua pertiga daripada 25 juta penduduk Australia telah menjalani sekatan pergerakan hari ini, ketika negara itu cuba menghalang varian Delta daripada terus menular.

Dua bandar terbesar negara itu telah menerima tamparan berganda dalam usaha mereka untuk mengekalkan status ‘sifar COVID-19’ dengan pihak berkuasa melaporkan beberapa jangkitan baharu koronavirus di Sydney dan melaksanakan sekatan pergerakan keenam ke atas Melbourne.

Keseluruhannya, kira-kira 60 peratus penduduk di bandar-bandar dari Brisbane hingga ke Ballarat kini telah diarahkan untuk berkurung di rumah.

Sehingga kini, Australia berjaya menghindari kesan teruk pandemik menerusi strategi seperti penutupan sempadan, sekatan pergerakan, kuarantin perjalanan mandatori dan ujian serta pengesanan agresif.

Bagaimanapun, negara itu sedang berhempas pulas untuk membendung wabak bawaan varian Delta yang cepat merebak. Selepas enam minggu sekatan pergerakan di Sydney, jumlah jangkitan baharu di New South Wales meningkat kepada 262 kes hari ini, angka harian terbesar sejak pandemik itu melanda.

Penunjuk perasaan membantah sekatan pergerakan di Melbourne pada 5 Ogos ketika pihak berkuasa mengumumkan sekatan pergerakan keenam di bandar itu dalam usaha untuk membendung varian Delta. – AFP

Pegawai kesihatan berkata, hampir semua kes baharu adalah di Sydney, namun sebilangan kecil jangkitan di daerah lain mendorong Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian memperluas perintah duduk di rumah.

Lima kes positif di Newcastle, bandar pesisir pantai dengan 320,000 penduduk di utara Sydney mendorong pihak berkuasa untuk menutup sekolah dan mengarahkan penduduk untuk kekal di rumah sekurang-kurangnya seminggu.

Perkara serupa juga berlaku di Victoria, di mana ketua menterinya, Daniel Andrews berkata dia ‘tidak mempunyai pilihan’ namun terpaksa ‘membuat pengumuman sukar’ untuk menyekat Melbourne dan negeri lain – kira-kira seminggu selepas sekatan pergerakan terakhir tamat.

“Tidak ada sesiapa yang gembira dengan keadaan ini,” katanya memetik bahaya ke atas pendedahan lapan kes ‘misteri’ yang belum lagi dikesan.

“Tidak ada alternatif lain selain sekatan pergerakan. Hospital kita sudah pun melebihi kuotanya. Bukan ratusan pesakit namun ribuan,” katanya.

Namun prospek itu tidak menggerunkan sekitar 2,000 penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan di jalan raya – berbeza dengan kebanyakan lima juta penduduk mematuhi perintah berkurung.

Polis bertindak ke atas kumpulan terbabit dengan membuat penangkapan dan menggunakan semburan pemedih mata dalam usaha untuk menyuraikan khalayak ramai yang berarak ke pusat bandar Melbourne selama hampir dua jam, menggesa Andrews dipecat sambil menjerit ‘tiada lagi sekatan pergerakan’. – AFP