Lantera daripada bahan terpakai

Oleh Amri HTZ

Sebelum terciptanya elektrik, penggunaan minyak tanah atau lilin sebagai sumber pencahayaan merupakan sesuatu yang tidak asing lagi.

Namun dengan arus kemodenan, pencahayaan menggunakan lilin dan minyak tanah telah digantikan dengan mentol dan sebagainya yang dijana oleh elektrik.

Disebabkan hal tersebut pencahayaan cara tradisional semakin dilupakan, tetapi sesetengahnya memanfaatkannya untuk dijadikan hiasan, lebih-lebih lagi membuatnya sendiri menggunakan barangan terpakai.

Barangan yang perlu dimiliki

Bagi mereka lantera menggunakan barangan terpakai ini, beberapa peralatan dan barangan perlu disediakan seperti dua tin bekas soda dengan setiap satu diameter 66mm (500ml) dan diameter 58mm (330ml), satu bekas soda (dijadikan penutup bahagian lain nanti), bekas kaca (berdiameter 56), nat dan bolt (diameter 2mm dan panjang 15mm), serbuk simen, pasir, pita perekat, dawai (sebagai pemegang lantera), eyelets dan washers, lilin, pemotong kaca, stapler, gunting, pisau utiliti, playar, mesin gerudi, pen penanda, pembaris, pemutar skru, kad kredit terpakai dan sekeping papan.

Lakukan satu persatu

Sebelum memulakan langkah pembuatan, tin bekas soda yang digunakan perlu dibersihkan terlebih dahulu pada bahagian dalamannya. Setelah membersihkannya, buangkan permukaan berwarna tin tersebut menggunakan nail polish remover di mana sebelum itu tin terlebih dahulu perlu direbus selama 20 minit menggunakan periuk tekanan.

Proses mereka penutup lantera menggunakan bahagian mulut dan bawah tin soda.
Bekas kaca yang telah dipotongkan menggunakan pemotong kaca kemudiannya akan direbus dan disiram dengan air ais atau sejuk untuk memisahkannya.
Bahagian-bahagian lantera yang terdiri daripada badan, kaca dan penutupnya.
Bekas tin soda yang telah dibersihkan permukaan luarnya dan dipotong dengan bentuk yang diperlukan.
Rangka asas atau badan lantera yang telah dibentuk menjadi persegi.

Selesai proses pembuangan warna pada tin, potongkan bahagian atas dan bawah tin menggunakan pisau utiliti dan pastikan ia tajam untuk memberikan permukaan potongan yang tepat. Gunakan papan yang telah disediakan sebagai sokongan ketika proses potongan.

Seperti yang diketahui, bahagian potongan akan menghasilkan permukaan yang tajam jadi anda perlu berhati-hati ketika mengendalikannya. Sebagai langkah berwaspada, ketika memotong bahagian atas dan bawah tin, gunakan kad kedit terpakai untuk menguit bahagian tersebut untuk memisahkannya.

Untuk bekas soda berdiameter 66mm, bagi menjadikannya berbentuk persegi, ia memerlukan clamp khusus untuk merekanya. Dua angle bracket dan dua flat plate bracket diperlukan dalam proses ini. Angle bracket yang disediakan akan dimasukkan ke dalam tin soda dan diberikan tekanan sehingga menghasilkan bentuk mengikut acuan. Semakin kencang ia ditarik, ia akan membentuk tin soda menjadi lebih persegi. Bagi mengekalkan bentuknya, ia perlu dipanaskan menggunakan ketuhar dengan suhu 200 darjah Celsius selama sejam.

Tin soda yang telah dibentuk akan dipotongkan di setiap sisinya dengan 6sm x 10sm daripada bahagian bawah pada kedudukan 4sm. Cuma salah satu sudut tidak akan dipotongkan di mana ia membolehkan anda melipatnya nanti.

Bahagian yang akan dijadikan rangka utama lantera ini pada asasnya begitu ringan dan memungkinkannya mudah tumbang. Bagi mengelakkannya, pada bahagian dalamannya akan diisikan dengan simen. Sebelum itu tutup bahagian bawah tin soda menggunakan potongan lebihan bekas soda yang telah disediakan. Ukur keliling rangka bawah lantera dan lebihkan ukuran lebih kurang 5mm yang kemudiannya akan dilipatkan bagi memberikan cengkaman tambahan ketika ia dicantumkan nanti.

Setelah simen mengering, bahagian pencahayaan yang telah dipotong tadi akan dilipatkan ke dalam keempat-empat sudut. Bagi memastikan lipatan kekal pada kedudukan, penggunaan stapler memainkan peranan penting di mana ia berfungsi menahan lipatan aluminium.

Rangka utama tersebut juga perlu ditebuk bahagian sisinya (atas) untuk menempatkan pemegang lantera yang diperbuat daripada dawai. Selain dawai jenis besi, menggunakan wayar jenis tembaga lebih disarankan memandangkan ia mempunyai luaran berwarna keemasan yang mampu menambahkan lagi keunikan hasil akhir rekaan.

Bagi mereka bahagian penutup lantera, bekas soda berdiameter 56mm akan dipotongkan separuh di mana bahagian atasnya akan digunakan pada langkah ini. selain itu, bahagian bawah tin soda juga akan digunakan dan ia perlu dipotong dijadikan sebagai penutup bahagian mulut bekas soda berbentuk kubah. Pada bahagian tengahnya (kubah dan mulut soda) akan ditebuk bagi membolehkan pemasangan nat dan bolt bagi mengekalkan kedudukannya.

Bahagian sisi penutup lantera tersebut, ia akan ditebuk bagi memberikan pengudaraan untuk lilin nanti. Tebuk empat lubang di tempat yang berlainan di mana jarak setiap lubang tidaklah menjadi suatu kepentingan.

Sementara bagi mereka kaca lantera, bekas makanan jenis kaca akan dipotongkan.

Gunakan pemotong kaca khusus di mana setelah berjaya mereka garisan di sekeliling kaca tersebut dengan ketinggian 11sm, rebus bekas kaca tersebut lebih kurang 15 minit dan siramkannya menggunakan air beku setelah mengeluarkannya. Proses menyiramkan dengan air ais secara mengejut ini secara automatik akan menjadikan bahagian yang telah dipotong menggunakan pemotong kaca terpisah.

Sebelum menyalakan lilin di dalam lantera rekaan, melakukan langkah ‘dry fit’ adalah disarankan bagi memastikan kesemua bahagian betul-betul sesuai. Dengan meletakkan rangka utama (badan lantera) pada meja kerja, masukkan lilin pada bahagian tengah, diikuti dengan kaca dan penutup lantera. Setelah dirasakan kesemuanya dalam keadaan sesuai, menyalakan lilin di dalamnya setentunya suatu indikasi bahawa rekaan telah berjaya dilakukan.