VIENTIANE, 4 FEB – Kerajaan Laos mengurangkan tempoh kuarantin bagi ketibaan baharu daripada 14 hari kepada tujuh hari bagi segelintir pengunjung.
Timbalan ketua Pejabat Perdana Menteri, Thipphakone Chanthavongsa berkata kelmarin bahawa ahli diplomatik atau kakitangan kedutaan, wakil atau kakitangan pertubuhan antarabangsa, dan ahli keluarga mereka yang tiba atau pulang ke Laos mesti menjalani ujian RT-PCR COVID-19 dan menjalani kuarantin di tempat mereka menginap selama tujuh hari.
Wakil kerajaan Laos dari setiap peringkat yang bekerja atau menghadiri seminar di luar negara, warga Laos yang pulang dari luar negara, mesti menjalani ujian RT-PCR COVID-19 dan menunggu keputusan dalam tempoh 48 jam di pusat kuarantin yang diluluskan.
Mereka yang menerima keputusan negatif dibolehkan untuk meneruskan kuarantin di kediaman mereka selama seminggu.
Pelabur dan ahli perniagaan mesti menjalani ujian COVID-19 dan menunggu keputusan mereka di lokasi yang diluluskan dan sekiranya mereka menerima keputusan negatif dibolehkan untuk meneruskan perniagaan mereka tetapi dimestikan untuk memakai gelang pemantauan selama seminggu.
Sementara itu, warga asing yang tiba atau pulang ke Laos dari luar negara mesti menjalani ujian dan menunggu keputusan di lokasi kuarantin.
Sekiranya keputusan ujian mereka negatif, mereka boleh meneruskan kuarantin mereka selama tujuh hari di tempat penginapan mereka dan dimestikan memakai gelang pemantauan.
Mereka juga diwajibkan untuk memuat turun dan menggunakan aplikasi yang ditetapkan bagi tujuan membuat pengenalan vaksinasi yang digunakan sebagai pengesahan digital status vaksinasi mereka.
Aplikasi itu akan menentukan status kesihatan seseorang sebaik sebelum memasuki pejabat kerajaan, restoran, kedai dan tempat awam lainnya. – Xinhua