Oleh Azlan Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Pengembara dari Brunei Darussalam adalah antara senarai 14 kerakyatan yang dibenarkan memasuki Laos di bawah Pelan Perjalanan Zon Hijau, lapor media Laos.
Jabatan Hal Ehwal Konsul, Kementerian Hal Ehwal Luar Laos telah meluluskan Brunei, Indonesia, Filipina, Norway, Switzerland, Finland, Israel, Ireland, Hungary, Austria, New Zealand, Poland, Denmark dan Belgium dalam senarai kebenaran memasuki Laos di bawah skim perjalanan baharu itu.
Empat belas negara tersebut telah ditambah kepada senarai awal 17 buah negara yang diumumkan secara rasmi dua minggu lalu.
Senarai awal termasuk China, Vietnam, Kemboja, Thailand, Malaysia, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Perancis, United Kingdom, Jerman, Belanda, Sepanyol, Itali, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.
Di bawah skim pembukaan semula itu, pelawat dibenarkan berkunjung di dalam dua zon, iaitu Zon Perjalanan Hijau dan Laluan Perjalanan Hijau, yang akan dilancarkan dalam tiga fasa.
Semasa Fasa Pertama, bermula 1 Januari hingga 30 Mac ini, pelawat boleh mengunjungi ibu negara Vientiane, wilayah Luang Prabang dan Daerah Vang Vieng di Wilayah Vientiane.
Sementara itu, lima wilayah akan diluluskan untuk Laluan Perjalanan Hijau, termasuk Oudomxay, Xayaboury, Xieng Khouang, Khammouane dan Champasack.
Semasa Fasa Kedua, Zon Perjalanan Hijau akan terdiri daripada sembilan wilayah: Ibu Negara Vientiane, Wilayah Vientiane, Luang Prabang, Oudomxay, Xayaboury, Xieng Khouang, Khammouane, Savannakhet dan Champasack. Empat wilayah akan diluluskan untuk Laluan Perjalanan Hijau semasa Fasa Kedua, termasuk Daerah Houay Xay di Wilayah Bokeo, Wilayah Luang Namtha, Wilayah Sekong dan Wilayah Salavanh.