BANGKOK, 12 MEI – Pendukung alam sekitar mengkritik Laos kerana meneruskan rancangan membina ‘empangan membinasakan’ di Sungai Mekong, laluan perairan yang sudah pun dijerut dengan skim-skim hidro kuasa.
Aliran Mekong, sungai terbesar Asia Tenggara, terganggu oleh sejumlah empangan di China– digelar Lancang.
Dua empangan hiliran – Xayaburi dan Don Sahong – dibina di Laos, yang mahu membina tujuh lagi empangan ketika ia berusaha mengekalkan gelaran ‘Bateri Asia.’ Paras air menurun kepada rekod terendah dalam tahun lalu, mendedahkan batu-batu dan membunuh ikan-ikan, satu fenomena yang dipersalahkan oleh penduduk kampung di Thailand dan Laos ke atas operasi empangan-empangan.
Pada Isnin, kerajaan komunis Laos menyerahkan cadangan bagi empangan Sanakham – hampir sempadan timur laut dengan Thailand – kepada Suruhanjaya Sungai Mekong (MRC). MRC merupakan badan konsultasi empangan bagi negara-negara Mekong, namun dituduh tidak bertaring dalam menghentikan projek-projek sungai ditaja oleh kerajaan-kerajaan dan syarikat perniagaan besar. – AFP





























