Lapan cedera ditikam, disyaki serangan pengganas

STOCKHOLM, 4 MAC – Seorang lelaki menyerang lapan orang menggunakan ‘senjata tajam’ semalam, mencederakan dua orang di bandar Vetlanda di Sweden, kata polis, sambil menambah mereka sedang menyiasat potensi ‘motif keganasan’.

Penyerang dibawa ke hospital selepas ditembak di kaki oleh polis dan dia ditahan berikutan serangan pada tengah hari di bandar selatan yang mempunyai 13,000 penduduk.

Bercakap kepada AFP, polis menyatakan lelaki berusia dua puluhan telah menggunakan ‘senjata tajam’ manakala media tempatan melaporkan dia mengacukan pisau.

Polis pada mulanya menganggap kejadian itu sebagai ‘percubaan pembunuhan’ tetapi kemudian mengubahnya dalam kenyataannya untuk memasukkan ‘disyaki jenayah pengganas’ tanpa memberikan keterangan lebih lanjut. Penduduk tempatan, Olivia Strandberg, memberitahu penyiar SVT dia tidak melihat serangan sebenar tetapi menyaksikan lelaki itu dibawa pergi, dari tingkapnya ketika dia pulang dari tempat kerja.

“Saya baharu saja sampai di pangsapuri saya apabila sahabat saya menulis kepada saya dan berkata: Jangan keluar!,” kata Strandberg, dengan penyiar menunjukkan rakaman suspek dibawa dalam ambulans di jalan yang sunyi.

Ketua polis tempatan, Jonas Lindell memberitahu media bahawa mereka telah mengenal pasti lima lokasi kejadian jenayah yang berlainan, masing-masing dalam jarak beberapa ratus meter di bandar kecil itu.

Lindell berkata suspek adalah penduduk di kawasan itu dan dikenali polis sebelum ini, tetapi pada masa lalu hanya disyaki melakukan ‘jenayah kecil’. – AFP

Polis dilihat menjalankan siasatan selepas beberapa orang diserang di Vetlanda, Sweden pada 3 Mac 2021. – AP