Lapan dicekup kerana judi

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Sekumpulan tujuh orang lelaki dan seorang perempuan berumur dalam lingkungan 30 hingga 55 tahun yang termasuk lima orang warga tempatan telah ditahan dalam serbuan kegiatan judi di Jalan Wasai Limuru, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Tanah Jambu semalam.

Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Jenayah bersama Unit Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menjalankan serbuan berkenaan berikutan maklumat yang dikongsikan oleh orang ramai.

Dalam serbuan itu, pihak polis juga menemui peralatan-peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi jenis ‘Katam-Katam’ dan sejumlah wang tunai yang juga dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian tersebut.

Sejumlah wang tunai dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian dirampas semasa operasi serbuan di Jalan Wasai Limuru, RPN Kampung Tanah Jambu.

Kesemua suspek dan barang-barang rampasan telah dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, PPDB mengalu-alukan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat awam dalam membantu pihak polis membasmi kegiatan jenayah di kawasan kampung setempat dengan menyalurkan maklumat yang membolehkan tindakan dibuat sewajarnya.

Oleh yang demikian, sesiapa yang mengetahui atau mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang disarankan supaya melaporkannya di balai polis terdekat atau menghubungi balai-balai polis yang berdekatan atau talian kecemasan 993.