MIAMI, 17 NOV – Pendakwa raya Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mendakwa lapan orang, termasuk pegawai kanan Kemboja, atas tuduhan menyeludup monyet spesies terancam.
Antaranya termasuk seorang Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Kemboja yang ditangkap di AS ketika dalam perjalanan ke persidangan untuk melindungi spesies haiwan terancam.
Timbalan Pengarah Hidupan Liar dan Biodiversiti di Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja, Masphal Kry ditangkap semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York.
Menurut pegawai AS yang enggan dikenali, Kry, 46, dalam perjalanan ke Panama untuk menghadiri Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) bagi mengawal selia perdagangan spesies terancam.
Selain itu, Ketua Pengarah Pentadbiran Perhutanan Negara Asia Tenggara, Omaliss Keo, 58, turut didakwa bersama enam pekerja lain. Masing-masing berdepan hukuman penjara sehingga 145 tahun.
Difahamkan, pegawai serta rakan sekerjanya di agensi hidupan liar negara itu dan enam lagi yang berkaitan dengan syarikat berpangkalan di Hong Kong, Vanny Resources Holdings terbabit dengan pembiakan kera ekor panjang untuk penyelidikan saintifik dan membekalkannya ke makmal di Florida dan Texas.
Bagaimanapun, kumpulan itu dituduh membeli kera liar secara haram untuk perniagaan apabila mereka kekurangan bekalan dalam operasi pembiakan mereka. Penolong Pengarah Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan AS, Edward Grace, berkata tindakan menyeludup kera ekor panjang liar membawa risiko kepada kesihatan dan kesejahteraan orang awam AS. – AP