Lapan ibu hamil positif COVID-19, jalani rawatan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Terdapat lapan kes positif COVID-19 yang merupakan ibu-ibu mengandung sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan manakala dua lagi kes telah disahkan sembuh.

Pada 24 Ogos lalu, satu kes yang juga merupakan seorang ibu mengandung telah selamat melahirkan seorang anak lelaki di pusat berkenaan.

“Ibu tersebut telah menjalani pembedahan bersalin bagi mengurangkan kemungkinan mendapat kesan yang teruk akibat jangkitan COVID-19. Pada masa ini, ibu dan anak damit tersebut adalah dalam keadaan yang baik.”

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menekankan bahawa wanita-wanita mengandung adalah termasuk dalam golongan mereka yang mempunyai risiko tinggi mendapat kesan yang teruk akibat jangkitan COVID-19.

“Dasar kerajaan pada masa sekarang telah membolehkan wanita-wanita mengandung di negara ini untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi melindungi diri mereka sendiri dan anak damit dalam kandungan,” kata Yang Berhormat Dato.

Sejak Program Vaksinasi Kebangsaan dibukakan untuk wanita mengandung, hanya 1,701 orang wanita mengandung daripada 2,270 orang yang telah didaftarkan iaitu hanya 74.9 peratus telah menghadirkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 iaitu sebanyak 569 tidak menghadiri perjanjian.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato menasihatkan wanita-wanita mengandung untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi keselamatan diri masing-masing dan keluarga mereka.