Lapan maut dalam bot Rohingya, M’sia diseru batal hantar warga Myanmar

KUALA LUMPUR, 22 FEB – Sebuah bot membawa puluhan warga Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak terkandas di laut dan sekitar lapan orang telah meninggal dunia, menurut kumpulan hak asasi kemanusiaan dan agensi pelarian PBB hari ini.

Etnik minoriti Islam itu sering mencuba untuk membuat perjalanan berbahaya ke Malaysia untuk melarikan diri dari kem pelarian di Bangladesh.

Kapal itu dipercayai bertolak dari Bangladesh pada 11 Februari bersama 90 yang lain termasuk 65 wanita dan kanak-kanak, Chris Lewa, dari Projek Arakan memberitahu AFP.

Namun ia mengalami kerosakan selepas beberapa hari, kehabisan makanan dan air serta hanyut di Laut Andaman dekat Andaman India dan Pulau Nicobar, kata Lewa, yang kumpulannya mengesan pelayaran bot Rohingya.

Enam wanita dan dua lelaki dipercayai meninggal dunia, akibat dehidrasi, katanya. Agensi pelarian PBB mengesahkan beberapa daripadanya telah terkorban. Pihak berkuasa maritim India tiba di kawasan itu sebelum ini dan dipercayai memberikan bekalan, tambahnya.

Kapal Myanmar, UMS Moattama yang akan digunakan untuk menghantar migran Myanmar dari Malaysia balik ke tanah air mereka dilihat berlabuh di jeti di Lumut, luar Kuala Lumpur pada 22 Februari. – AFP

Agensi pelarian menyeru ‘tindakan segera…untuk menyelamatkan nyawa dan mencegah tragedi selanjutnya.’

Sementara itu di Lumut, Malaysia berdepan gesaan hari ini untuk membatalkan penghantaran seramai 1,200 warga Myanmar ke tanah air mereka selepas rampasan kuasa, dengan Amerika Syarikat yang terkini menyuarakan kebimbangan sama.

Penghijrah yang termasuk kumpulan minoriti dijangka dipulangkan pada Selasa menggunakan tiga kapal dihantar dari Myanmar, di mana tentera merampas kuasa pada awal Februari.

Kapal itu tiba pada hujung minggu dan berlabuh di pangkalan tentera laut di Lumut di barat pantai Malaysia.

Kedutaan AS di Kuala Lumpur memberitahu AFP yang ia bimbang dan menggesa pihak berkuasa membenarkan agensi pelarian PBB mengakses warga Myanmar yang ditahan, yang membolehkan mereka untuk menilai jika adanya pencari perlindungan. – AFP