Lapan maut dalam tembakan rambang di kampus

MOSCOW, 20 SEPT – Sekurang-kurangnya lapan terbunuh selepas seorang pelajar melepaskan tembakan rambang di sebuah kampus universiti dalam kejadian di tengah Rusia, sekali gus menjadi insiden kedua membabitkan institusi pendidikan tahun ini.

Jawatankuasa Siasatan Rusia berkata, beberapa individu turut cedera dalam kejadian di Perm State University itu, manakala suspek berjaya ditahan.

Rakaman video kejadian itu juga tersebar di media sosial menyaksikan pelajar mencampakkan barangan mereka dari tingkap bangunan sebelum melompat keluar bagi menyelamatkan diri.

Media tempatan turut menyiarkan rakaman video amatur memaparkan seorang individu berpakaian lengkap taktikal hitam, memakai topi keledar sambil membawa senjata berkeliaran di kampus berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita Rusia, kementerian Kesihatan berkata 24 orang menerima rawatan, termasuk 19 orang yang mengalami luka tembakan. Terdahulu, pasukan menyiasat memaklumkan lima orang terbunuh dan enam lagi cedera dalam kejadian terbabit.

Pihak berkuasa serantau berkata kelas di sekolah tempatan, kolej dan universiti ditutup hari ini.

Sebelum ini, kejadian sama berlaku pada Mei lalu apabila seorang remaja berusia 19 tahun melepaskan tembakan ke arah sebuah sekolah di bandar Kazan, mengakibatkan sembilan orang terbunuh.

Pasukan penyiasat memberitahu lelaki terbabit mengalami masalah mental, namun disifatkan sihat untuk memiliki lesen senjata api jenis senapang semi automatik yang digunakannya dalam serangan itu. – AFP

Reaksi pelajar ketika mereka berkumpul di luar Universiti Perm State di Perm, kira-kira 1,100 kilometer dari timur Moscow, Rusia kelmarin. – AP