Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan maut nahas pesawat Indonesia

    JAKARTA, 12 Ogos – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menjadi satu-satunya penumpang yang terselamat dalam nahas pesawat di kawasan pergunungan di timur Indonesia semalam, kata pihak berkuasa hari ini.

    Ketika kejadian itu, pesawat Pilatus buatan Switzerland dikatakan terputus hubungan dengan pengawal trafik udara semalam semasa perjalanan yang hanya mengambil masa 40 minit saja untuk tiba ke lokasi sekitar wilayah pedalaman Papua.

    Bangkai pesawat itu ditemui di kawasan hutan tebal berhampiran lereng gunung di daerah Oksibil pagi tadi.

    “Lapan mayat ditemui dan hanya seorang terselamat,” kata jurucakap tentera Papua, Leftenan Kolonel Dax Sianturi.

    “Setakat ini punca nahas belum disahkan dan siasatan akan dijalankan oleh jawatankuasa keselamatan pengangkutan negara,” katanya kepada AFP sambil menambah bahawa siasatan akan dijalankan oleh jawatankuasa kebangsaan keselamatan pengangkutan.

    Pesawat, yang dimiliki oleh syarikat swasta Dimonim Air itu membawa tujuh penumpang dan dua anak kapal.

    Sebelum nahas itu, penduduk kampung berhampiran Okatem melaporkan terdengar bunyi bising disusuli dengan letupan.

    Pasukan mencari dan menyelamat terpaksa berjalan dua jam untuk sampai ke lokasi nahas dan menemui mayat pada awal pagi tadi.

    Indonesia sangat bergantung kepada pengangkutan udara untuk menghubungkan beribu-ribu pulaunya tetapi mempunyai rekod keselamatan penerbangan yang buruk.

    Julai lalu, lima orang terkorban selepas sebuah pesawat kecil terhempas di Wamena dekat wilayah Papua.

    Pada Ogos 2015, sebuah pesawat penumpang komersial yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan negara Indonesia Trigana terhempas di Papua akibat cuaca buruk, membunuh kesemua 54 penumpangnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda