Lapan pasar nelayan diwujudkan di Sabah

PAPAR, 13 Mac – Pembinaan lapan pasar nelayan di negeri ini oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membolehkan masyarakat nelayan terus menjual hasil tangkapan ikan tanpa penglibatan orang tengah.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan Sabah Dr Daud Yusof berkata kerajaan memperuntukkan RM1.6 juta untuk membina pasar nelayan tersebut.

Katanya kerajaan prihatin dan mengambil berat mengenai nasib dan masa depan masyarakat nelayan yang sebelum ini dimanipulasi orang tengah terhadap hasil tangkapan ikan mereka.

“Kerajaan akan terus mempertahankan komuniti nelayan dengan cara memenuhi kehendak dan keperluan untuk memperoleh pendapatan yang setanding atau sama dengan pendapatan bidang lain.

“Ini sejajar dengan matlamat kerajaan negeri Sabah meningkatkan sektor perikanan untuk manfaat masyarakat nelayan,” katanya ketika merasmikan Pasar Nelayan LKIM Kampung Sinar Baru di Kimanis dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil dan Pengarah LKIM Sabah Mohd Jamil Abdullah.

Daud yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bongawan berkata kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memajukan lagi Industri perikanan di negeri ini. – Bernama