Lapan penerima biasiswa LCB dirai

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), hari ini, telah meraikan lapan orang mahasiswa yang terpilih menerima biasiswa bagi melanjutkan pengajian mereka Program Sarjana Muda di Universiti Chester, United Kingdom.

Majlis yang berlangsung di LCB berkenaan dihadiri oleh Pengarah LCB dan Plaza Abdul Razak Holdings Sdn Bhd, Haji Awang Suhaimei bin Haji Awang Besar yang turut menyampaikan ucapan ringkas pada majlis tersebut. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif LCB, Sivarajah Subramaniam.

Skim biasiswa berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat LCB dengan sebanyak $311,500 telah diberikan kepada mahasiswa-mahasiswi LCB tempatan yang layak menerimanya sejak 2016.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Haji Awang Suhaimei menjelaskan bahawa majlis berkenaan bagi mengucapkan tahniah kepada para penerima atas pencapaian mereka dipilih sebagai penerima biasiswa.

Menurut kenyataan LCB, kriteria-kriteria untuk melayakkan mahasiswa-mahasiswi menerima biasiswa berkenaan adalah berdasarkan hasil akademik yang cemerlang dalam Tahun 1 Umum BA, Diploma Level 3 BTEC atau HND Level 5 BTEC; penglibatan aktif dalam majlis pelajar; mengemukakan cadangan yang meyakinkan yang menonjolkan kelebihan dan kekuatan mereka serta kehadiran 100 peratus.

Para penerima biasiswa LCB ketika sesi bergambar ramai semasa majlis tersebut.