Lapan pengganas ditembak mati di Venezuela

CARACAS, 4 MEI – Kerajaan Venezuela berhaluan kiri menggagalkan serangan mendadak dari laut dan membunuh lapan anggota askar upahan dipercayai pengganas bagi menggulingkan Presiden Nicolas Maduro.

Menteri Dalamnya, Nestor Reverol, berkata kumpulan yang dipercayai dari Colombia itu cuba mendarat menggunakan bot laju sebelum subuh di daerah persisiran utara di La Guaira, namun berjaya dipintas tentera dan unit pasukan khas polis. “Terima kasih kepada pihak bersenjata Bolivarian dan unit pasukan khas polis, ada anggota pengganas yang ditembak mati dan ada sebahagian yang ditahan,” katanya. Colombia bagaimanapun menafikan sebarang pembabitan. Tambahnya lagi, pencarian besar-besaran di darat, udara dan lautan sedang dilakukan bagi mencari saki-baki penyerang. – AFP