Lapan polis terbunuh serangan hendap

LUCKNOW, 3 JULAI – Serbuan bagi menahan seorang penjenayah tegar berakhir tragedi apabila lapan anggota polis India maut dalam serangan hendap.

Sekurang-kurangnya tujuh lagi cedera dalam serangan pada waktu malam itu di sebuah perkampungan di Uttar Pradesh. Ketua Polis negeri, HC Awasthi, berkata suspek yang mendapat bantuan seluruh perkampungan itu, menembak anggota polis dari atas bumbung beberapa rumah.

Seorang pegawai kanan polis, Prashant Kumar, berkata penyerang menghadang laluan masuk ke perkampungan itu menggunakan jengkaut dan memiliki senjata separa automatik.

“Ini adalah serangan yang dirancang,” katanya kepada pemberita. Media melaporkan, suspek terbabit mempunyai rekod jenayah yang panjang termasuk tuduhan membunuh seorang ahli politik dan menteri negeri pada 2001 selain dikehendaki atas 60 tuduhan jenayah lain. – AFP