Lapan produk kosmetik dicemari bahan terlarang

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai supaya tidak menggunakan lapan produk kosmetik yang mana hasil daripada ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan, mendapati bahawa produk-produk berkenaan dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, produk-produk kosmetik berkenaan ialah SSII Treament Cream yang dicemari dengan Tretinoin dan Hydroquinone; Skin Reborn Essentials Rejuvenating Cream Whitening & Moisturiser (Night Cream) dan Skin Reborn Essentials Facial Solution Deep Cleanser (for night only), dikilangkan oleh Eulaila Beauty Station, Filipina yang dicemari dengan Tretinoin; Beauche Clarifying Solution Deep Cleansing Agent Helps Remove Pimple dan Beauche Rejuvenating Cream Whitening & Moisturiser yang dikilang oleh Beauche International by Conchita Inc, Filipina dicemari dengan Tretinoin; Prestige-Rejuvenating Plus Cream yang dikilangkan di Filipina dicemari dengan Tretinoin dan Hydroquinone; Brilliant Skin Essentials-Whitening Facial Toner yang dikilangkan oleh Brilliant Skin Essentials, Filipina dicemari dengan Hydroquinone dan Crystal Infinity-Pekas Cream oleh Crystal Infinity Beauty Products Enterprise, Filipina yang dicemari dengan Tretinoin.

Kenyataan menekankan lagi bahawa bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Kenyataan menerangkan bahawa Hydroquinone adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Manakala itu, Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit. Penggunaan Tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan produk-produk tersebut dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut.

Berikutan dapatan berkenaan, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk berkenaan, dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

SSII Treatment Cream
Brilliant Skin Essentials – Whitening Facial Toner