Monday, April 28, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapan rakyat S’wak jadi mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar

    KUCHING, 25 SEPT – Polis menerima tiga laporan membabitkan lapan rakyat negeri ini yang menjadi mangsa jenayah penipuan pekerjaan serta dipaksa bekerja dengan sindiket penipuan di Myanmar.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata laporan berkenaan telah dirujuk ke Cawangan D3 (An-tipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Interpol dan Aseanpol bagi membantu untuk mengesan dan menyelamatkan kesemua mangsa.

    “Pihak PDRM juga telah membuat pemakluman kepada konsulat dan Kementerian Luar bagi membantu mempercepat proses menyelamat dan usaha untuk membawa pulang kesemua
    mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

    Mohd Azman berkata laporan pertama dibuat di Tanjung Manis pada 21 Sept lepas dengan mangsa dimaklumkan melibatkan dua lelaki.

    “Laporan kedua pada 22 September di daerah Julau melibatkan seorang lelaki manakala laporan ketiga di Sibu melibatkan lima lelaki. Kesemua mangsa dilaporkan berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun,” katanya.

    Menerusi maklumat yang diterima, beliau berkata mangsa dipaksa bekerja di pusat panggilan melibatkan sindiket penipuan dalam talian di Myanmar, meskipun pada awalnya dimaklumkan mendapat tawaran pekerjaan di Thailand. – Bernama

    Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menunjukkan siaran media polis berkenaan tiga laporan membabitkan lapan rakyat Sarawak yang menjadi mangsa jenayah penipuan pekerjaan serta dipaksa bekerja dengan sindiket penipuan di Myanmar. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda