Lapan tentera terkorban dalam serangan pemberontak Huthi

DUBAI, 27 MEI – Lapan orang tentera Yaman terbunuh dan beberapa yang lain tercedera dalam serangan peluru berpandu oleh pemberontak Huthi yang menyasarkan komando tentera di wilayah pertempuran Marib, kata pegawai tentera hari ini.

Dalam bulan-bulan kebelakangan, pihak pemberontak yang disokong oleh Iran telah menyerang pasukan kerajaan di Marib, Timur ibu kota Sanaa, yang ditawan oleh pihak pemberontak pada tahun 2014 ketika permulaan konflik Yaman yang berpanjangan.

“Pemberontak Huthi melancarkan dua serangan peluru berpandu – satu di markas tentera di wilayah Marib semalam,” dan serangan lain di kem tentera, kata pegawai kepada AFP.

Ketua kakitangan tentera, Jeneral Saghir bin Aziz ‘selamat’ tetapi anaknya, seorang kapten, dan beberapa yang lain terbunuh dalam serangan peluru berpandu di markas tentera, kata sumber itu.

Pada 18 Januari, serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh pemberontak Huthi telah membunuh 118 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain di sebuah masjid dalam kem tentera di Marib.

Huthi mengawal ibu kota di wilayah Utara, Al-Jawf, awal tahun ini – kemajuan strategik yang bermaksud mereka sekarang mengancam wilayah Marib yang menghasilkan minyak, sumber pendapatan yang besar.

Kerajaan, yang disokong oleh gabungan Arab Saudi sejak awal tahun 2015, berjuang menentang pemberontak dalam konflik yang telah membunuh puluhan ribu orang – mencetuskan apa yang dikatakan oleh PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk dunia.

Peperangan masih berterusan meskipun berulang kali digesa gencatan senjata sebagai sebahagian usaha global memerangi koronavirus, yang menular di Yaman dalam apa yang dirisaukan oleh agensi-agensi kesihatan boleh menjadi penularan dahsyat. – AFP