Lapangan Terbang Aleppo dibuka semula

ALEPPO, SYRIA, 19 FEB – Penerbangan komersial Syria mendarat di lapangan terbang Aleppo pada hari ini dari Damsyik, menandakan sambungan penerbangan domestik di antara dua bandar terbesar di Syria buat kali pertama sejak 2012.

Penerbangan yang membawa pegawai dan wartawan Syria adalah mesej simbolik dari kerajaan Presiden Bashar Assad, beberapa hari selepas tenteranya menggabungkan kawalan ke atas wilayah barat laut Aleppo dan merampas segmen terakhir lebuh raya M5 yang menghubungkan Aleppo ke Damsyik. Jalan raya antara dua bandar terbesar di Syria itu dibuka semula buat kali pertama dalam lapan tahun.

Disokong oleh serangan udara Rusia, tentera kerajaan telah melancarkan serangan selama beberapa minggu untuk merampas semula kawasan desa Aleppo dan sebahagian wilayah jiran Idlib di wilayah barat laut Syria, kawasan pemberontak terakhir di negara itu.

Serangan itu telah mendorong ratusan ribu warga Syria melarikan diri ke sempadan Turki dalam salah satu penghijrahan terbesar dalam peperangan, kini sudah memasuki tahun kelapan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meletakkan jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal sejak 1 Disember lebih 900,000, yang mana lebih separuh di antara mereka terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

Penerbangan Syrian Air mendarat di lapangan terbang Aleppo selepas penerbangan selama 40 minit dari Damsyik. Sebelum itu, Menteri Pelancongan Syria Bishr al-Yazigi dan Menteri Pengangkutan, Ali Hammoud membuka lapangan terbang untuk perniagaan.

Hammoud berkata pembukaan lapangan terbang itu merupakan satu ‘kegembiraan yang besar’ bagi orang Syria dan ‘impian’ untuk kementerian.

Lapangan terbang ditutup sejak 2012 kerana pertempuran, selepas Aleppo jatuh ke tangan pemberontak. Disokong oleh Rusia dan Iran, tentera Syria mengusir pemberontak dari Aleppo pada Disember 2016, selepas pengepungan dan pengeboman kempen bertahun-tahun lamanya.

Lapangan terbang itu dibuka semula pada 2017 secara besar-besaran tetapi ditutup sekali lagi disebabkan kebimbangan keselamatan. –AP

Pesawat YAK-40, penerbangan komersial Syria mendarat di Lapangan Terbang Aleppo kelmarin dari Damsyik, menandakan penerbangan semula antara dua bandar terbesar di Syria untuk kali pertama sejak 2012. – AP