Lapangan terbang bersejarah Berlin akan ditutup

BERLIN, 20 MEI – Lapangan terbang antarabangsa utama Berlin, Tegel yang sempit tetapi selesa, akan ditutup pada 15 Jun disebabkan oleh penularan koronavirus dan berkemungkinan besar tidak akan digunakan lagi, menurut kerajaan bandar hari ini.

Dengan ibu kota Jerman yang membuat rancangan untuk merasmikan lapangan terbang baharu di luar kota pada bulan Oktober setelah penundaan selama hampir satu dekad, konsortium yang menjalankan lapangan terbang wilayah memilih untuk menutup Tegel selama dua bulan atas permintaan yang rendah semasa pandemik.

“Kami akan menutup sementara operasi dengan pilihan untuk membuka semula jika perlu. Apa saja yang bakal berlaku, saya tidak dapat memperkatakannya,” jurucakap kerajaan Berlin, Eva Henkel memberitahu AFP.

Para pegawai sebelum ini meluahkan rasa ragu sama ada sebarang penerbangan akan berlepas selepas pertengahan Jun dari lapangan terbang ini, dengan bentuknya segi enam yang ikonik dan jarak yang sangat luar biasa dari pusat bandar.

Lapangan terbang antarabangsa baharu Berlin, yang dikenali sebagai BER, bakal dibuka pada 31 Oktober, selepas berulang kali ditunda kerana masalah struktur dan rasuah. – AFP

Gambar fail ruang utama lapangan terbang Tegel yang kosong di tengah-tengah pandemik COVID-19. Lapangan terbang tersebut bakal ditutup pada 15 Jun dan berkemungkinan besar tidak akan digunakan lagi. – AFP