Lapangan terbang Canary dibuka semula

MADRID, 24 FEB – Kesemua lapan lapangan terbang di Pulau Canary di Sepanyol dibuka semula hari ini sehari selepas ribut pasir menyelubungi kepulauan itu, sekali gus memaksanya ditutup, kata kementerian pengangkutan.

“Keadaan cuaca yang semakin pulih semalam telah membenarkan lalu lintas udara disambung di semua lapangan terbang di Pulau Canary,” tulis kementerian di Twitter.

ENAIRE, badan awam yang mengendali ruang udara Sepanyol, berkata penerbangan telah diteruskan selepas ‘keadaan jerebu berkurangan’. Perjalanan udara terganggu di kepulauan itu pada hari Sabtu selepas angin kencang yang membawa pasir merah dari Sahara menyelubungi pusat pelancong dalam kabus jerebu, memaksa pembatalan atau lencongan penerbangan pergi dan balik dari pulau Gran Canaria dan Tenerife.

Beberapa penerbangan disambung semula pagi semalam sebelum operator lapangan terbang Sepanyol AENA terpaksa menutup kesemua lapan lapangan terbang pulau itu, tiga di Gran Canaria dan Tenerife serta lima yang lain.

“Pekerja profesional pengangkutan udara tidak pernah melihat keadaan cuaca buruk seperti ini untuk pengangkutan udara di Pulau Canary,” kata Menteri Pengangkutan Jose Luis Abalos pada semalam. Terletak di luar pantai Maghribi, Pulau Canary adalah destinasi pelancongan yang popular untuk warga Eropah Utara yang suka sinaran matahari musim sejuk.   Mereka menerima 13.1 juta pelancong asing tahun lepas, menurut statistik institut INE, menjadikannya wilayah ketiga paling dikunjungi di Sepanyol. – AFP

Sebuah pesawat udara bersama penumpang mendarat di landasan lapangan terbang di Santa Cruz de Tenerife, Sepanyol. Semua lapangan terbang di Kepulauan Canary di Sepanyol telah dibuka semula walaupun angin kencang membawa pasir dan debu dari padang pasir Sahara. – AP