Lapangan terbang HK lumpuh lagi

HONG KONG, 13 OGOS – Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong lumpuh lagi pada hari kedua, memaksa pihak berkuasa membatalkan semua penerbangan berbaki keluar dari bandar itu selepas penunjuk perasaan menawan terminal-terminal sebagai sebahagian daripada usaha mereka mendesak bagi reformasi demokratik.

Selepas beroperasi semula pada awal pagi ini yang mana penerbangan dapat mendarat dan berlepas, pihak berkuasa lapangan terbang mengumumkan bahawa daftar masuk bagi pesawat berlepas ditangguh pada jam 4:30 petang. Pesawat berlepas yang sudah pun menyelesaikan proses daftar masuk, akan terus beroperasi.

Ia tidak menjangkakan penerbangan terjejas, meskipun berpuluh-puluh sudah pun dibatalkan. Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar tidak datang ke lapangan terbang, salah sebuah hab pengangkutan paling sibuk di dunia.

Semalam, lebih daripada 200 penerbangan dibatalkan dan lapangan terbang itu secara efektifnya ditutup selepas tiada satu pun pesawat berlepas atau mendarat.

Penumpang dipaksa mendapatkan penginapan di pusat bandar ketika syarikat-syarikat penerbangan mencari jalan lain untuk memastikan mereka tiba di destinasi mereka.

Gangguan di lapangan terbang merupakan peningkatan kepada demonstrasi musim panas yang bermatlamat untuk menegakkan kebebasan yang dianggap oleh penduduk Hong Kong semakin terhakis berbanding yang dijanjikan dalam 1997 selepas parti Komunis yang memerintah tanah besar China mengambil alih wilayah itu yang sebelumnya di bawah jajahan British. – AP

Penunjuk perasaan menggunakan troli bagasi untuk menyekat pintu berlepas semasa satu demonstrasi melumpuhkan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada hari kedua, memaksa pihak berkuasa membatalkan semua penerbangan berlepas dari terminal-terminal selepas jam 4:30 petang. –AP