SIPITANG, 12 Ogos – Lapangan Terbang Long Pasia di sini yang ditutup sejak sekian lama perlu beroperasi semula bagi membantu meningkatkan permintaan produk pelancongan di Long Pasia, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.
“Walaupun penerbangan itu mungkin tidak berjadual tetapi boleh melalui sewaan bagi memenuhi permintaan kerana Long Pasia kini sudah berubah wajah. Kawasan sudah sedia ada cuma hanya perlu diperbaiki. Dulu ada penerbangan seminggu sekali menggunakan pesawat jenis Twin Otter,” katanya kepada Bernama.
Cadangan itu telah disuarakan kepada pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan diharapkan akan mendapat maklum balas yang positif, kata Yusof, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sindumin, pada hari terakhir lawatan kerjanya ke beberapa kawasan di Sipitang sejak Jumaat lepas.
Dalam lawatan kerja itu, beliau menghadiri majlis kesyukuran dan sesi dialog di Kampung Meligan, kira-kira 90 kilometer dari pekan Sipitang, yang dihuni suku kaum Murut, Lundayeh dan Kadayan. selain melakukan tinjauan ke SK Meligan.
Semalam, beliau mengadakan dialog bersama masyarakat Kampung Long Pasia yang terletak kira-kira 115 kilometer dari pekan Sipitang dan hanya boleh dikunjungi menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan masa perjalanan lebih tiga jam.
Sementara itu, Pegawai Daerah Sipitang Matlin Dullah berkata lapangan terbang itu mula beroperasi pada tahun 70-an sebelum ditutup pada tahun 90-an.
Beliau berkata ketika itu laluan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Long Pasia dan Long Pasia ke Lawas yang akan mengambil masa kira-kira sejam perjalanan. – Bernama