Lapangan terbang Sandakan bakal jadi pemangkin pembangunan

SANDAKAN, 12 JUN – Lapangan Terbang Sandakan, yang telah siap dinaik taraf pada akhir tahun lepas, bakal menjadi pemangkin bagi menggerakkan pembangunan di daerah itu khususnya dalam sektor ekopelancongan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata projek bernilai RM80.9 juta itu diluluskan pada 2017 dan pembinaannya dimulakan pada 2019 antara lain melibatkan pemanjangan landasan sedia ada daripada 2.133km kepada 2.5km.

“Dengan adanya pemanjangan landasan ini, Lapangan Terbang Sandakan mampu mengendali pesawat kod C iaitu tanpa had muatan dan penerbangan hingga enam jam. Ini secara langsung boleh menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan komersial untuk terbang secara terus ke Sandakan.

“Ia juga akan meningkatkan kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara seterusnya menambah daya saing ekonomi, komersial serta pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan naik taraf landasan dan meninjau lapangan terbang itu hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin juga Menteri Kerja Raya negeri. – Bernama

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong ketika melawat landasan lapangan terbang selepas merasmikan pembesaran Lapangan Terbang Sandakan dan Pengantian serta Penambahbaikan Sistem Pengurusan Trafik Udara, Sandakan, semalam. – Bernama