Lapor 148 jika BruHealth alami masalah

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Orang ramai yang mengalami masalah pengesahan status BruHealth mereka termasuklah tiada kod hijau, mereka bolehlah menghubungi talian 148 dengan segera agar pihak kementerian dapat memperbetulkan masalah tersebut.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab persoalan mengenai situasi permasalahan yang dihadapi oleh sesetengah orang ramai yang telah menerima suntikan vaksinasi dengan lengkap namun masih belum memperoleh status pengesahan mereka dalam aplikasi BruHealth, semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, hari ini.

“Mereka diminta untuk menyatakan nombor BruHims dan nama sepenuhnya dan seterusnya akan diperiksa sama ada mereka memang benar melengkapkan vaksinasi mereka sebelum ini,” ujar Yang Berhormat Dato lagi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah turut menambah berhubung dengan mereka yang sudah menerima vaksin di luar negeri dan belum dapat dimuatkan pengesahan pengambilan suntikan mereka dalam aplikasi BruHealth, maka dalam hal ini mereka perlu membawa sijil atau surat pengesahan yang telah dikeluarkan oleh pusat mereka menerima suntikan vaksinasi berkenaan.

Orang ramai yang mengalami masalah pengesahan status BruHealth mereka dinasihatkan agar menghubungi 148 dengan segera.