Lapor jika jumpa kit ujian tiruan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Orang ramai perlu meneliti kit ujian saringan COVID-19 yang telah disenaraikan oleh Kementerian Kesihatan.

Kemungkinan orang menjual kit ujian saringan COVID-19 yang tiruan itu boleh terjadi, oleh itu bagi sesiapa yang meragui bahawa sesuatu kit yang dijual itu tidak bertepatan dengan bungkusannya yang asli memandangkan bungkusan yang asli tersebut dapat dilihat di laman sesawang sebagaimana bentuknya yang sepatutnya, mereka bolehlah membuat laporan mengenainya.

Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada petang tadi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa laporan kepada talian 148 bolehlah dibuat mengenainya.

Di samping itu, mereka boleh juga menghubungi secara langsung ke Jabatan Makmal Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi memberikan ulasan yang lebih terperinci kenapa mereka berfikir bahawa kit tersebut adalah bukan asli.