Lapor kes baharu COVID-19, Thailand tutup sempadan Myanmar

BANGKOK, 18 OKT – Thailand telah menutup semua sempadan penyeberangannya antara utara wilayah Tak dan Myanmar selepas lima orang di bandar sempadan Mae Sot Thailand diuji positif koronavirus.

Kelima-limanya yang tidak menunjukkan simptom merupakan kes penularan tempatan pertama disahkan di Thailand sejak awal September, apabila seorang banduan diuji positif.

Lima kesemuanya merupakan sekeluarga warga Myanmar yang menetap di Thailand. Pada awalnya, dua disahkan dijangkiti dan ditambah dengan jumlah kes Thailand pada Sabtu, sementara tiga yang lain ditambah hari ini.

Sementara itu, kes-kes juga ditemui ke atas orang yang dikuarantin selepas tiba dari negara luar, tujuh lagi hari ini dengan membawa jumlah keseluruhan kes Thailand kepada 3,686, termasuk 59 kematian.

Sebagai respons daripada kes baharu itu, sekolah-sekolah di kawasan Mae Sot telah diarahkan ditutup selama tujuh hari dan hanya mengambil perkhidmatan bawa pulang di restoran-restoran dan gerai.

Kedai-kedai, gedung beli-belah dan pasar raya kekal dibuka namun pemeriksaan suhu badan dan jarak fizikal telah dikuatkuasakan. – AP