Lapor polis jika ada khidmat gunting rambut bergerak

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Orang ramai disarankan untuk melaporkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei jika mendapati ada individu yang menawarkan perkhidmatan gunting rambut dari rumah ke rumah.

Ini kerana, sungguhpun individu yang memberi perkhidmatan itu menggunakan alat pelindung diri (PPE), ia berkemungkinan besar menjadi penyebar kepada jangkitan COVID-19, tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan mengenai video tular yang memberi khidmat gunting rambut ke rumah-rumah pelanggan, semasa sidang media hari ini.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Dato menegaskan bahawa mereka yang memberikan khidmat gunting dari rumah ke rumah adalah tidak digalakkan sama sekali kerana walaupun mereka mengenakan PPE tetapi jika pemakaiannya tidak betul juga boleh menyebabkan penularan virus berkenaan, lebih-lebih lagi jika mereka positif COVID-19.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara yang perlu difahami semasa memakai PPE atau Jupiter Suit, seperti di hospital contohnya, ada beberapa prosedur perlu dipatuhi dalam pemakaian PPE dengan betul dan ia sudah tentu memerlukan kepakaran.

Selain itu, penggunaan PPE juga haruslah mampu melindungi si pemakai, maka dalam kes gunting rambut itu, boleh timbul satu keraguan untuk memastikan PPE yang digunakan itu adalah PPE baharu dan bukan PPE yang sama semasa memberi perkhidmatan kepada pelanggan sebelumnya.

“Ini boleh menjadikan tukang gunting berkenaan sebagai penyebar wabak jika PPE yang digunakan itu mempunyai jangkitan virus dan ini sama juga kepada pelanggan,” ujarnya.

Kementerian Kesihatan tidak memberi kebenaran bagi perkhidmatan gunting rambut dari rumah ke rumah dijalankan.