Laporan: Bakteria punca kematian ratusan gajah

GABORONE, BOTSWANA, 21 SEPT – Ratusan gajah yang mati secara misteri di Delta Okavango yang terkenal di Bostwana adalah disebabkan keracunan ‘cyanobacteria’, dedah jabatan hidupan liar hari ini.

Negara selatan Afrika itu mempunyai jumlah gajah terbesar di dunia, dianggarkan pada kira-kira 130,000. Lebih daripada 300 gajah telah mati secara misteri sejak Mac, dengan gadingnya masih ada justeru mengetepikan hipotesis bahawa mereka dibunuh oleh pemburu.

“Kematian adalah berpunca daripada keracunan ‘cyanobacteria’ yang membiak dalam lopak air, beritahu ketua pegawai veterinar Jabatan Hidupan Liar Taman Negara, Mmadi Reuben, kepada wartawan.

Reuben berkata kematian ‘telah berhenti pada akhir Jun 2020, serentak dengan keadaan lopak yang kering.’

Laporan pertama kematian luar biasa gajah pada 25 April mengenal pasti kes berhampiran kampung Seronga dan jumlah tersebut mulai meningkat pada bulan berikutnya.

Menurut pihak berkuasa hidupan liar, kira-kira 330 haiwan telah mati dan ujian darah adalah konsisten dengan keputusan bahawa spesies ‘cyanobacteria’ yang menghasilkan neurotoksin mengakibatkan kematian. – AFP