Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    laporan PBB: Suku populasi dunia tiada sumber air selamat

    PBB, 22 MAC – Satu laporan yang dikeluarkan menjelang persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pertama mengenai air dalam 45 tahun mengatakan 26 peratus penduduk dunia tidak mempunyai akses kepada air minum yang selamat dan 46 peratus tidak mempunyai akses kepada sanitasi asas.

    Laporan Pembangunan Air Sedunia PBB 2023, yang dikeluarkan kelmarin, memberikan gambaran jelas mengenai jurang besar yang perlu diisi demi mencapai matlamat PBB untuk memastikan semua penduduk dunia mempunyai akses kepada air bersih dan sanitasi pada tahun 2030.

    Richard Connor, ketua pengarang laporan itu, memberitahu sidang akhbar bahawa kos anggaran untuk mencapai matlamat itu adalah antara AS$600 bilion dan AS$1 trilion setahun.

    Menurut laporan itu, penggunaan air telah meningkat di seluruh dunia sebanyak 1 peratus setiap tahun dalam 40 tahun yang lepas dan dijangka akan terus meningkat pada kadar yang sama sehingga 2050, didorong oleh kombinasi pertumbuhan penduduk, pembangunan sosioekonomi dan pola penggunaan yang berubah.

    Secara purata, 10 peratus daripada populasi global tinggal di negara-negara yang kekurangan air yang sangat kritikal dan sehingga 3.5 bilion orang tinggal dalam keadaan kekurangan air sekurang-kurangnya satu bulan pada setiap tahun, menurut laporan yang dikeluarkan oleh UNESCO.

    Sejak tahun 2000, banjir di tropika telah meningkat empat kali ganda, kata laporan tersebut. Trend kemarau lebih sukar ditentukan, katanya, walaupun peningkatan intensiti atau kekerapan kemarau dan ‘haba melampau’ boleh dijangka di kebanyakan kawasan sebagai akibat angsung daripada perubahan iklim.

    Mengenai pencemaran air, Connor berkata sumber pencemaran terbesar adalah air kumbahan yang tidak dirawat. – AP

    Orang ramai mendapatkan air minuman dari tempat pengumpulan air di kawasan setinggan, di Karachi, Pakistan.
    Seorang lelaki mengisi tin dengan air dari penjual tangki air di kawasan kumuh Kibera di Nairobi, Kenya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...