Laporan polis dibuat kerana halang ABCi jalankan pemeriksaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) telah membuat laporan polis pada 17 Mac lalu ke atas sebuah batching plant di Daerah Brunei dan Muara kerana menghalang dan tidak membenarkan pegawai ABCi untuk memasuki dan membuat pemeriksaan pada premis tersebut walaupun ABCi telah menjelaskan tujuan pemeriksaan dibuat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan, di sini, seperti mana di bawah peruntukan Perintah Kawalan Bangunan 2014 (BCO) Seksyen 56, ABCi diberi kuasa memasuki dan memeriksa mana-mana premis pada waktu yang tertentu bagi tujuan memastikan sama ada terdapatnya pelanggaran di bawah perintah tersebut.

Dalam kenyataan itu, ABCi dengan tegas mengingatkan orang ramai bahawa mana-mana orang yang sengaja menghalang mana-mana pegawai yang diberi kuasa dalam menjalankan tugas undang-undang, mereka melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan dikenakan denda tidak melebihi $10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Kenyataan itu turut menyatakan sebuah syarikat pembinaan tempatan yang telah diupah untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian bagi sebuah rumah di Kampung Lumapas didapati telah menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa kebenaran daripada ABCi.

Pemilik tanah membuat aduan ke ABCi setelah mendapati kelewatan bagi kerja-kerja pembinaan rumah beliau walaupun pembayaran kemajuan dibuat secara berterusan.

Perintah Kawalan Bangunan 2014 (BCO) Seksyen 56 memperuntukkan ABCi diberi kuasa memasuki dan memeriksa mana-mana premis pada waktu yang tertentu bagi tujuan memastikan sama ada terdapatnya pelanggaran di bawah perintah tersebut. – Gambar serahan Kementerian Pembangunan

Sehubungan itu, ABCi telah mengeluarkan notis kepada syarikat pembinaan berkenaan untuk memaklumkan mengenai dakwaan kesalahan di bawah Seksyen 24 (1) (b) Perintah Kawalan Bangunan 2014 (BCO) iaitu membina tanpa kebenaran, yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi $200,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kenyataan menyatakan bahawa kes berkenaan telah dilaporkan kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.

Bagi sebarang pertanyaan dan aduan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline pihak berkuasa ABCi di 8140365.

Sementara itu, sebuah perusahaan kilang papan di Kampung Sengkurong B, Mukim Sengkurong juga telah diarahkan untuk memberhentikan kegiatannya kerana telah melanggar Seksyen 23(2), Perintah Perancangan Bandar dan Desa, 2015 (TCPO) iaitu membuat penambahan dan menjalankan ke-giatan perusahaan tanpa kebenaran perancangan.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa penambahan itu telah dibina di atas tanah yang bersyarat pertanian am, di mana ia juga menceroboh ke dalam kawasan simpanan jalan laluan.

Selanjutnya, kegiatan kilang papan itu telah menyebabkan pencemaran alam sekitar dan mengganggu keharmonian kawasan perumahan. Pengendali kilang papan berkenaan mematuhi sepenuhnya dengan perintah Autoriti Perancang dengan merobohkan keseluruhan kemajuan tersebut pada Jun 2021.

Orang ramai diperingatkan untuk mematuhi undang-undang perancangan khususnya Seksyen 23 TCPO yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja di dalam suatu kawasan pemuliharaan tanpa kebenaran perancangan.

Kegagalan dalam mematuhi undang-undang adalah menjadi satu kesalahan yang boleh dikenakan denda tidak melebihi $200,000.

Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan, orang ramai bolehlah menghubungi talian hotline Jabatan Perancang Bandar dan Desa di 8200 222.