Laporta harap Lionel Messi main secara percuma

MADRID, 8 OKT – Presiden Barcelona, Joan Laporta mengakui hari ini dia berharap Lionel Messi akan mengubah fikiran untuk tidak meninggalkan kelab dan boleh bermain secara percuma.

Messi menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada Ogos lalu selepas Barca mengambil keputusan tidak memperbaharui kontrak pemain Argentina itu kerana peraturan had gaji La Liga yang ketat.

“Tiba masanya apabila kedua-dua pihak melihat ia sesuatu yang tidak boleh dilakukan.

“Timbul kekecewaan pada kedua-dua pihak,” kata Laporta kepada stesen radio Catalan, RAC1.

“Dia mahu kekal tetapi tetapi mereka juga banyak tekanan kerana tawaran diterima. Mereka tahu jika dia tidak kekal, dia akan ke PSG.”

Aksi Lionel Messi semasa sesi latihan di Ezeiza, Buenos Aires pada 6 Oktober lalu. Laporta berharap Messi akan membuat pusingan U dan akan bermain secara percuma. – AFP

Laporta menambah, “Saya harap Messi akan membuat pusingan U dan dia akan berkata saya akan bermain secara percuma.

“Saya pasti suka jika ia berlaku, dan saya bersedia untuknya. Saya difahamkan La Liga pasti akan menerimanya. Tapi kami tidak boleh meminta pemain seperti Messi untuk melakukan perkara ini.”

Laporta menjelaskan situasi kewangan kelab bermakna mereka tidak boleh mengekalkan Messi dengan syarat yang sama.

Barca mencatatkan kerugian 481 juta euro (AS$556 juta) musim lalu, dengan hutang kasar berjumlah 1.35 bilion euro.

“Kami membuat kesimpulan audit Rabu lalu dan pelaburan untuk Leo akan membahayakan kami,” kata Laporta, yang juga menyarankan Barcelona belum dapat menandatangani perjanjian dengan dana pelaburan CVC Capital Partners.

La Liga memberitahu Barca pada bulan Ogos lalu bahawa mereka dapat mempertahankan Messi jika mereka setuju dengan perjanjian itu, yang melibatkan liga menjual 10 peratus perniagaan komersial, termasuk hak televisyen, untuk 50 tahun ke depan, dengan pertukaran 2.7 bilion euro.

Barcelona, Real Madrid dan Athletic Bilbao menolak tawaran itu. – AFP