Larang jual makanan bukan vegetarian di gerai

NEW DELHI, 17 NOV – Empat pertubuhan sivik telah mencetuskan kontroversi apabila melarang penjualan makanan bukan vegetarian di tepi-tepi jalan di Gujarat, barat India.

Beberapa parti dan pertubuhan politik pembangkang mengkritik larangan itu kerana ia boleh menjejaskan kehidupan penduduk miskin serta bertentangan dengan hak rakyat untuk memakan apa jua makanan pilihan mereka, lapor Agensi Anadolu.

Kelmarin, Perbadanan Perbandaran Ahmedabad mengalihkan gerai menjual makanan bukan vegetarian dari jalan-jalan utama di bandar itu.

Terdahulu, pertubuhan sivik itu mengarahkan pekedai menutup makanan bukan vegetarian atau bakal berdepan tindakan pihak berkuasa. Pertubuhan tersebut turut mendakwa asap yang keluar dari gerai-gerai itu boleh menyebabkan bahaya kepada kesihatan. – Bernama