Larang kemasukan dari Sabah, Labuan

KUCHING, 1 OKT – Kerajaan negeri Sarawak hari ini mengambil keputusan melarang kemasukan, warganegara dan bukan warganegara Malaysia yang berada di Sabah dan Labuan mulai 4 hingga 18 Oktober, berikutan peningkatan jangkitan kes COVID-19 di negeri jirannya itu.

Timbalan Ketua Menteri 1 Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri hari ini berkata, hanya rakyat Sarawak yang berada di Sabah dan Labuan dibenarkan balik, tetapi perlu memohon melalui aplikasi dalam talian EnterSarawak dan mengisi borang pengisytiharan kesihatan elektronik (e-Health Declaration Form).

“Mereka (rakyat Sarawak yang balik dari Sabah dan Labuan) akan dikenakan (menjalani) kuarantin di pusat kuarantin selama 14 hari dan diambil ujian RT-PCR (Real Time Polymerase Chain Reaction) COVID-19 pada hari kedua dan ke-10,” katanya pada sidang media harian COVID-19 Sarawak di sini.

Bagi rakyat Sarawak yang dikategorikan dalam perkhidmatan penting dan perlu menjalani tugasan rasmi di Semenanjung Malaysia beliau berkata, mereka dibenarkan ke Semenanjung Malaysia dan perlu memohon melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi e-Health Declaration Form.

“Mereka juga wajib mendapat kelulusan daripada ketua jabatan masing-masing dengan memuat naik surat rasmi tersebut serta surat jemputan mesyuarat ke aplikasi EnterSarawak, sebelum dibenarkan pulang tanpa kuarantin di pusat kuarantin,” katanya.

Uggah berkata, warganegara Malaysia yang bukan rakyat dari Sarawak dan warganegara asing yang ingin masuk ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia, juga perlu memohon kemasukan melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi e-Health Declaration Form. – Bernama