Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larangan bagi orang yang berkorban

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Ibadat korban adalah syi‘ar yang perlu dipelihara oleh setiap orang Islam yang berkemampuan. Hukum melakukan ibadat korban itu adalah sunat mu’akkadah (sunat yang dituntut).

    Salah satu perkara yang perlu dipelihara di dalam ibadat korban itu ialah menitikberatkan perkara-perkara yang disuruh dan dilarang di dalam ibadat tersebut.

    Ini termasuk adab dan perkara-perkara yang sunat dilakukan oleh orang yang hendak menunaikan ibadat korban.

    Antara adab dan perkara yang disunatkan itu ialah tidak menghilangkan kuku dan rambut

    Para ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan larangan menghilangkan kuku dan rambut itu ialah larangan menghilangkan atau membuang kuku dengan cara memotong, membelah, memecah atau selainnya; serta larangan menghilangkan atau membuang rambut dengan cara mencukur, menggunting, mencabut, membakar, menanggalkan dengan kapur ataupun selainnya sama ada rambut kepala, bulu ketiak, misai, janggut, bulu kemaluan atau bulu roma selainnya. Larangan tersebut juga termasuk membuang anggota badan yang lain.

    Siapakah yang dilarang memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan?

    Larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan dianjurkan ke atas setiap orang Islam yang hendak menunaikan ibadat korban.

    Gambar Freepik

    Disunatkan ke atasnya untuk tidak memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badannya akan tetapi tidak diwajibkan ke atasnya untuk berbuat demikian.

    Sementara itu, menurut pendapat yang shahih hukum meninggalkan anjuran tersebut pula adalah makruh.

    Bila bermula larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan?

    Terdapat beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan tentang larangan memotong anggota zahir badan bagi orang yang hendak menunaikan ibadat korban itu antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Apabila telah masuk hari-hari yang 10 (sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai binatang korban yang hendak dikorbankan, maka janganlah sekali-kali mengambil (memotong) rambut dan memotong kuku.”
    (Hadits riwayat Muslim)

    Diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa yang ada sembelihan untuk disembelih (hendak dijadikan binatang korban), maka apabila telah tampak hilal Zulhijjah, janganlah dia sekali-kali mengambil (memotong) sesuatupun daripada rambut dan kukunya, sehinggalah dia selesai menunaikan ibadat korban.”
    (Hadits riwayat Muslim)

    Berdasarkan hadits-hadits di atas, jelas menunjukkan bahawa larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan bagi orang yang hendak menunaikan ibadat korban itu adalah bermula sebaik sahaja tampak atau sabit dilihat anak bulan Zulhijjah iaitu 1 Zulhijjah dan larangan tersebut berakhir sehingga orang itu selesai menunaikan ibadat korbannya.

    Hikmah larangan

    Hikmah larangan memotong rambut, kuku, bulu dan anggota badan bagi orang yang hendak menunaikan ibadat korban ialah agar seluruh anggota tubuh orang yang menunaikan ibadat korban itu kekal lengkap sehingga mendapat jaminan bebas daripada api neraka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda